BTS Media

Jumlah mangsa banjir meningkat di Perak, Kelantan, Johor, Selangor

Oleh Zainal AS Rashid

JUMLAH mangsa banjir meningkat kepada 3,619 di empat negeri, iaitu Johor, Kelantan, Perak dan Selangor setakat pukul 8.00 pagi Khamis.

Di Selangor, sejumlah 848 mangsa daripada 208 keluarga masih berada di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa terdapat peningkatan jumlah berbanding 129 mangsa pada pukul 8.00 semalam.

Sebanyak tiga PPS dibuka di daerah Hulu Langat, Sabak Bernam dan Petaling.

Di Johor, jumlah mangsa meningkat dua orang di daerah Tangkak manakala Segamat dan Kluang tidak mencatat perubahan iaitu masing-masing 32 dan 53.

Kelantan masih mencatatkan bilangan mangsa banjir, iaitu 1,925 melibatkan tujuh PPS di daerah Pasir Mas.

Perak mencatatkan peningkatan sebanyak 89 mangsa berbanding semalam.

Semuanya ditempatkan di tujuh PPS dengan penambahan satu kawasan, iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu.

-BTS Media

Leave a Comment