JUMLAH mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan dan Pahang terus meningkat petang ini (11 Dis), manakala di Johor, Segamat menjadi daerah pertama terjejas.
Sehingga pukul 4.00 petang, jumlah mangsa yang dipindahkan di empat negeri termasuk Terengganu berjumlah 1,806 orang.
Di KELANTAN, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 657 orang daripada 212 keluarga petang ini berbanding 280 orang daripada 84 keluarga pada pagi Ahad (11 Dis).
Sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri Kelantan berkata, mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan di Rantau Panjang, Pasir Mas, dengan 450 daripadanya di SK Tok Deh, SK Gual Periok (81), SK Kubang Kual (66) dan pusat pemindahan Putat Tujoh (60).
Di PAHANG, terdapat 581 orang di 11 pusat setakat pukul 4.00 petang berbanding 537 orang di lapan pusat pada pukul 8.00 pagi, dengan Temerloh mempunyai jumlah pemindahan tertinggi – 382 orang, diikuti Lipis (83), Raub (48), Jerantut (39) dan Bera (29).
Di JOHOR, jawatankuasa pengurusan bencana daerah berkata 22 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat pada tengah hari selepas Sungai Muar pecah tebing. Mangsa adalah penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 546 orang daripada 137 keluarga petang tadi berbanding 599 orang daripada 154 keluarga pagi tadi.
Setakat pukul 3.00 petang, tujuh pusat pemindahan dibuka di empat daerah, dengan Kemaman menempatkan 279 mangsa, Kuala Nerus (220), Kuala Terengganu (43) dan Setiu (empat).
11 Disember 2022 - Kemaskini Amaran Hujan Berterusan (BURUK) 5.00pm-BTS Media