BTS Media

Banjir: Jumlah mangsa meningkat kepada 5,878 orang di Johor

JUMLAH mangsa banjir di enam daerah di Johor meningkat daripada 2,162 orang setakat pukul 9.00 pagi kepada 5,878 mangsa tengah hari Rabu (1 Mac).

Setakat ini terdapat 1,575 keluarga mendapatkan perlindungan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat daripada 581 keluarga di 25 pusat sebelum ini di enam daerah.

Jawatankuasa pengurusan bencana negeri dalam satu kenyataan berkata daerah yang dilanda banjir ialah Johor Baru, Kulai, Kota Tinggi, Kluang, Pontian dan Segamat.

“Kluang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,952 orang daripada 518 keluarga di 10 pusat diikuti Segamat 1,431 mangsa daripada 419 keluarga di 16 PPS.”

Kota Tinggi merekodkan 1,156 orang daripada 259 keluarga di 13 PPS, Johor Baru 1,004 mangsa daripada 296 keluarga di sembilan pusat, Kulai 320 orang daripada 80 keluarga di lima pusat dan 15 mangsa daripada tiga keluarga di satu PPS di Pontian.

“Sungai-sungai di Segamat, Kluang, Kulai, Pontian dan Johor Baru sudah melepasi paras berbahaya.”

Paras air semasa di Sungai Segamat Kecil ialah 38.32m (paras berbahaya 37.30m), Sungai Batu Pahat pada 13.74m (13m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah pada 6.73m (5.50m) – semuanya di Segamat.

Paras air di sungai di Kampung Contoh, Kluang mencecah paras 15.49m (14.50m), manakala tiga sungai di Kulai juga melebihi paras berbahaya – Sungai Sayong pada 18.93m (18.10m), Sungai Skudai 18.80m (18m) dan Sungai Pontian Besar 12.01m (11m).

Paras air di Sungai Pulai di Pontian kini berada pada 2.85m (2.50m), dan Sungai Skudai di Kampung Laut di Johor Baru pada 5.60m (3m) dan Sungai Skudai di Kampung Pasir, Johor Baru pada 1.05m (1.0m).

Beberapa jalan raya di Kluang dan Segamat ditutup kepada semua kenderaan berikutan peningkatan paras air di sepanjang laluan,” tambah kenyataan itu.

Jalan terbabit ialah Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway), Jalan Mohd Salim di Kluang, Jalan Bekok dan  Kampung Tenang in Segamat.

“Jalan keluar di Jalan Masai Lama, Johor Baru juga ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di kawasan itu,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment