Oleh Zainal AS Rashid
JUMLAH mangsa banjir di Johor mencatatkan 5,455 mangsa dipindahkan setakat pukul 8.00 pagi Khamis berbanding 5,427 pada pukul 4 pagi.
Sebanyak 55 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berbanding 54 sebelum ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, yang terlibat ialah tujuh daerah, iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat, Muar dan Pontian.
“Mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan apabila satu lagi PPS dibuka bagi menempatkan 5,455 mangsa daripada 1,508 keluarga di tujuh daerah terjejas.
“Pontian daerah terbaharu terjejas akibat banjir dan menyaksikan sebuah PPS dibuka di SK Melayu Raya.”
Jabatan Pengairan dan Saliran berkata tiga sungai, iaitu Sungai Gemas di Segamat, Sungai Kahang (Kluang) dan Sungai Endau (Mersing) mencatatkan aras bahaya.
“Bagi Sungai Gemas, aras air semasa berada pada paras 19.29 meter berbanding 18.60 meter, Sungai Kahang (15.99 meter berbanding 13.60 meter) dan 2.62 meter berbanding 2.20 meter bagi Sungai Endau.
“Selain itu tujuh sungai lain melibatkan Sungai Segamat, Sungai Segamat (Segamat Kecil), Sungai Muar (Kampung Awat), Sungai Sarang Buaya, Sungai Sembrong, Sungai Pontian Besar dan Sungai Johor berada pada paras amaran,” kata laporan itu.
-BTS Media