BTS Media

Tiga pelajar sekolah agama dakwa cedera dibuli senior di asrama

Tiga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh, dekat Nilai, didakwa cedera dipukul pelajar senior.

Polis menerima tiga laporan daripada pelajar terbabit semalam yang kini sedang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Ketua Polis Nilai Mohd Fazley Ab Rahman, berkata pihaknya sudah mengenal pasti dua pelajar senior berkenaan bagi membantu siasatan kes.

“Kita menerima tiga laporan polis daripada tiga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh yang mendakwa dipukul pelajar senior, dipercayai tingkatan empat.

“Kejadian menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan mangsa.

“Mangsa menerima rawatan di HTJS dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Fazley berkata, siasatan masih dibuat dalam mengenal pasti punca kejadian dan jika ada pelajar lain terbabit.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/15/3-pelajar-dakwa-cedera-dibuli-senior-di-asrama/

Leave a Comment