BTS Media

Tiada lagi penerbangan komersial di lapangan terbang Melaka

Oleh Zainal AS Rashid

TIADA lagi penerbangan komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, dan ini dilihat sebagai sesuatu yang jarang berlaku, kata pemain pelancongan tempatan.

Tinjauan di lapangan terbang itu pada Selasa (5 Sept), mendapati meja daftar masuk, karusel bagasi dan kaunter lain kosong sejak bulan lalu. Semua penerbangan, termasuk ke Pekan Baru, Indonesia tidak lagi terdapat di situ.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Khairulnizam Kasim berkata penerbangan komersial adalah penting untuk pertumbuhan industri hospitaliti tempatan, lapor The Star.

“Adalah menyedihkan apabila mengetahui bahawa tiada lagi penerbangan komersial di lapangan terbang itu, dan ini adalah sesuatu yang jarang berlaku untuk sebuah negeri pelancong,” katanya.

Khairulnizam berkata lapangan terbang itu memainkan peranan penting dalam memastikan hasil yang stabil untuk hotel dan industri berkaitan.

Beliau berkata penerbangan ke lapangan terbang tersebut juga penting bagi pengembara perniagaan dan mereka yang berkunjung ke negeri itu bagi menghadiri persidangan dan acara di mana peserta juga memilih untuk pergi bercuti bersama keluarga.

“Industri perhotelan akan terjejas teruk apabila tiada syarikat penerbangan yang memberi perkhidmatan kepada LTAM,” katanya.

Khairulnizam berkata perkembangan terbaharu ini juga tidak kena pada masanya kerana negeri itu sedang membuat persiapan untuk Tahun Melawat Melaka 2024.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Bahagian Melaka Goh Hock Gin berkata pemberhentian perkhidmatan penerbangan komersial juga akan memberi kesan kepada pelancongan perubatan.

Beliau berkata penerbangan terus dari Pulau Pinang dan Pekan Baru ke LTAM sebelum ini merupakan rangsangan kepada industri pelancongan perubatan tempatan.

“Kebanyakan rakyat Indonesia datang ke Melaka untuk tujuan pelancongan perubatan dan kami memerlukan lebih banyak penerbangan serantau ke LTAM,” katanya.

Lapangan terbang itu sibuk pada September tahun lalu dengan penerbangan terus dari Pulau Pinang dan Pekan Baru selepas ia terjejas teruk selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19.

Pada 15 Mei lalu, LTAM menyaksikan satu lagi laluan penerbangan terus dari Pekan Baru yang dikendalikan oleh Wings Air.

Seorang juruterbang yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu The Star bahawa syarikat penerbangan yang beroperasi di LTAM tidak memberikan alasan kukuh untuk menggantung perkhidmatan kedua-dua laluan itu.

The Star telah menghubungi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mendapatkan ulasan.

-BTS Media

Leave a Comment