SERAMAI 34 ahli akademik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), termasuk sarjana jemputan, mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila disenaraikan dalam World’s Top 2% Scientists 2026, senarai saintis terbaik dunia yang dikaitkan dengan Universiti Stanford.
seramai 17 daripada mereka berjaya menduduki kelompok 1% saintis terbaik dunia, sekali gus mengangkat nama Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan antarabangsa.
Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, berkata pencapaian itu mencerminkan kecemerlangan akademik UTAR serta keberkesanan pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat dan pendidikan berkualiti.
Beliau berkata pengiktirafan berkenaan turut membuktikan komitmen MCA untuk menyediakan peluang pendidikan tinggi yang berkualiti pada kos berpatutan menerusi institusi seperti UTAR dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
Menurutnya, penubuhan kedua-dua institusi itu berteraskan misi memperkasa bakat tempatan serta membuka akses lebih luas kepada pendidikan tinggi berkualiti untuk golongan muda daripada pelbagai latar belakang masyarakat.
Tan berkata pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan dan meningkatkan masa depan sesebuah keluarga, manakala sumbangan graduan berkemahiran tinggi mampu membawa manfaat lebih besar kepada masyarakat dan negara.
Beliau menyifatkan kejayaan 34 ahli akademik UTAR itu sebagai bukti bahawa pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan bakat bukan sahaja menghasilkan kejayaan individu, malah memberikan impak lebih luas kepada pembangunan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan masyarakat supaya terus memberikan sokongan kepada UTAR dan TAR UMT bagi membolehkan kedua-dua institusi berkenaan memperkukuh keupayaan pengajaran serta penyelidikan.
Katanya, sokongan berterusan penting untuk memastikan lebih ramai tenaga mahir dan pakar dapat dilahirkan bagi menyumbang kepada kemajuan Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan, manakala bakat merupakan penentu masa depan sesebuah negara.
-BTSMedia.my



