SEBUAH kapal tangki minyak seberat 2,400 tan yang merempuh benteng laut di Taman Esplanade Marina Wing, di Lumut, awal pagi tadi, dipercayai melakukan ujian pelayaran tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati kapal sepanjang 83 meter itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Fuji, telah bertukar pemilik kepada seorang warga Thailand sebelum didaftarkan semula dengan nama Midas.
Beliau berkata, kapal berkenaan membawa 10 kru yang kesemuanya warga Thailand ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, kesemua kru tidak ditahan, sebaliknya sedang menjalani pemeriksaan oleh Jabatan Laut Malaysia.
Katanya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian turut membabitkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Jabatan Imigresen serta pihak berkuasa tempatan.
Hasbullah berkata, berdasarkan maklumat awal Jabatan Laut, kapal itu dipercayai telah meninggalkan lokasi pada malam sebelumnya untuk menjalani ujian pelayaran tanpa mendapatkan kebenaran yang diperlukan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang tindakan terhadap kru atau kapal berkenaan bergantung kepada hasil siasatan Jabatan Laut.
Beliau berkata, punca sebenar pelanggaran masih disiasat, termasuk aspek dokumentasi pendaftaran kapal, permit operasi serta perkara lain berkaitan pergerakan kapal berkenaan.
Tambahnya, kapal tangki itu didapati kosong dan tidak membawa sebarang muatan ketika merempuh benteng laut berkenaan.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Manjung akan menjalankan penilaian terhadap kerosakan kemudahan awam akibat kejadian tersebut.
Mengenai usaha mengalihkan kapal, Hasbullah berkata, Jabatan Laut akan menarik kapal itu ke perairan lebih dalam dan menambatkannya di luar pesisir ketika air pasang.
Operasi berkenaan perlu mengambil kira keadaan air yang masih cetek ketika ini, katanya.
Terdahulu, rakaman video dan gambar kapal tangki itu yang bahagian hadapannya tersangkut pada batu berhampiran benteng laut tular di media sosial.
Pelanggaran yang dipercayai berlaku kira-kira jpukul 9.50 pagi itu turut mengakibatkan sebahagian laluan pejalan kaki dan kemudahan awam berhampiran mengalami kerosakan.
-BTSMedia.my



