SEBUAH tangki air berkapasiti 455 meter padu di Taman Kuala Kangsar pecah pada hari Sabtu (14 Nov), dipercayai akibat keadaan struktur yang sudah berusia lebih 40 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa kejadian tersebut menyebabkan limpahan air ke jalan raya di kawasan sekitar.
Beliau berkata, Pusat Operasi Lembaga Air Perak (LAP) Kuala Kangsar menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang, yang turut menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 520 pengguna di kawasan berhampiran.
Menurutnya, kawasan terjejas membabitkan Taman Kuala Kangsar dan Taman Meranti, namun bekalan air melalui saluran paip utama telah dilaksanakan bagi memastikan pengguna terus menerima bekalan.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan dan pencucian jalan di sekitar lokasi turut dilakukan, manakala semua panel tangki yang terjejas sudah dialihkan.
Katanya, LAP sedang merancang untuk menggantikan tangki berkenaan dengan struktur baharu, selain menjalankan penilaian teknikal menyeluruh terhadap keadaan tangki lama sebelum kerja pemasangan dimulakan.
Mohammad Nizar berkata, siasatan awal mendapati limpahan air daripada tangki yang pecah itu mengalir ke jalan raya berhampiran, namun setakat ini tiada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan harta benda diterima.
Pemeriksaan terhadap rumah yang terletak paling hampir dengan tangki berkenaan juga mendapati kediaman itu berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kerosakan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan air di kawasan terjejas kekal stabil tanpa gangguan, sementara Pusat Operasi LAP Kuala Kangsar akan terus memantau keadaan bagi mengelakkan sebarang gangguan susulan serta kejadian berulang.
Sementara itu, beberapa rakaman video kejadian tangki air pecah berkenaan tular di media sosial sejak Sabtu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
-BTSMedia.my



