ISMAIL Lasim masih kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sehingga peletakan jawatannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, menurut penjelasan Istana Negeri Sembilan hari ini.
Dalam satu kenyataan, pihak istana menjelaskan bahawa sebarang peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda, selaras dengan Perlembagaan Negeri Sembilan.
Istana turut memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir, pada 16 November lalu berhubung dakwaan peletakan jawatan Ismail.
Kenyataan Zambry itu dipercayai dibuat berdasarkan salinan surat peletakan jawatan yang berada dalam simpanannya.
Menurut pihak istana, surat tersebut hanya diserahkan ke Istana Hinggap di Seremban pada pukul 12.16 tengah malam tadi oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
Bagaimanapun, pihak istana memaklumkan bahawa kesahihan surat berkenaan, yang menurut Zambry telah ditandatangani Ismail, masih belum dapat disahkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail sebelum ini telah memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar dan permohonan itu sudah diperkenankan baginda.
Setiausaha Sulit baginda memaklumkan kelulusan tersebut kepada Ismail menerusi WhatsApp pada pukul 8.38 malam, 16 November lalu, dan beliau turut mengesahkan penerimaan mesej berkenaan.
Sesi menghadap itu dijadualkan berlangsung pada pukul 10 pagi, 20 November ini.
Istana turut menjelaskan bahawa kelulusan menghadap tersebut dimaklumkan kira-kira 80 minit sebelum Zambry membuat hantaran di media sosial yang mengumumkan peletakan jawatan Ismail.
Penjelasan istana itu dibuat ketika perkembangan politik di Negeri Sembilan terus menjadi perhatian susulan pengumuman mengenai peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar.
-BTSMedia.my



