Oleh Zainal AS Rashid
AHLI Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau masih ahli UMNO.
Beliau yang ditemui di Dewan Rakyat untuk mengemukakan soalan pertama sesi Waktu Pertanyaan, seolah-olah tidak terkesan dengan keputusan majlis tertinggi UMNO menggantung keahliannya selama enam tahun.
Menurut beliau penggantungan tersebut tidak bererti dia digantung sampai mati.
Secara berseloroh Tajuddin berkata, “Jika hendak digantung, gantunglah sampai mati, kerana kalau tak mati seseorang itu akan hidup semula.”
Pada Sabtu lepas (1 Okt) UMNO telah menggantung keahlian Tajuddin, yang dianggap lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Turut digantung keahlian enam tahun, ketua bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail.
Selain itu, majlis tertinggi UMNO juga memecat blogger dan bekas setiausaha bahagian UMNO Bandar Tun Razak Datuk Zaharin Mohd Yasin.
Semakan dengan para ahli majlis tertinggi UMNO mengesahkan bahawa memang benar bahawa Tajuddin dan Mohd Yusof digantung selama enam tahun.
-BTS Media