PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) harus menjadi medan kepada parti komponen Perikatan Nasional (PN), khususnya BERSATU, untuk menyelamatkan negara daripada jatuh ke paras kolam paling dalam.
Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan ahli BERSATU terhadap tanggungjawab besar menyelamatkan negara, berkata adalah penting untuk memastikan kemenangan PN pada PRU akan datang.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata keadaan negara pada masa ini semakin tidak baik dan pilihan yang ada bagi membetulkan keadaan itu ialah dengan menukar kerajaan sedia ada.
“Terbentuknya BERSATU adalah atas asas dan tujuan yang cukup mulia iaitu untuk menentang kleptokrasi, salah guna kuasa kebongkaran rasuah yang belah berleluasa berlaku dalam negara kita pada hari ini.
“Walaupun negara kita tidak hadapi ancaman peperangan, tetapi kita berhadapan peperangan lain iaitu menyelamatkan negara daripada jatuh ke satu paras kolam paling dalam,” katanya berucap pada sambutan ulang tahun keenam BERSATU di Putrajaya semalam.
Muhyiddin berkata walaupun sekarang ini sudah ada tanda-tanda pertumbuhan, tetapi ia tidak mencukupi dan dijangkakan tahun depan masalah ekonomi akan lebih teruk.
“Sebab itu kita mesti mengambil satu pendirian yang penting untuk menentukan supaya negara kita ini dapat kita selamatkan. Apa yang telah pun kita lakukan kita cuba selamatkan. Tapi malang sekali kita belum hasil sepenuhnya.
“Sekarang ni negara dipimpin oleh perdana menteri. Kita bekerjasama ialah untuk menjamin sedikit sebanyak ada kestabilan dalam negara kita. Tetapi saya berani menyebutkan beberapa hari yang lepas bahawa saya rasa tidak cukup dengan apa yang telah pun dilakukan oleh Perdana Menteri kerana situasi negara kita semakin hari semakin menjadi lebih buruk.
“Saya tak nak membandingkan saya dengan beliau. It is not fair. Kerana saya tidak berada di situ lagi. Tapi. sekarang ini dia (negara) dipimpin oleh seorang Perdana Menteri. Saya tak nak mengajar Perdana Menteri, itu bukan tugas saya.
“Tetapi peranan kita, sebagai sebuah gerakan parti politik menjadi lebih tercabar. Apa yang harus kita lakukan? Jadi setakat yang telah pun kita lakukan dan kita telah mampu lakukan kita buat.
“Walaupun kita telah meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan mengharapkan ada bentuk kerjasama persefahaman tetapi nampaknya UMNO tetap UMNO. UMNO masih gelojoh dengan kuasa. Hampir sebahagian jawatan-jawatan penting dipinda dan ditukar pada orang-orang UMNO sahaja.
“Sebab itu jawapan yang paling penting sekarang ialah bila mana pilihan raya sampai kita tukar kerajaan yang ada hari ini… dan kita bina sebuah kerajaan Perikatan Nasional. Bukan pasal saya nak jadi Perdana Menteri.
“Itu tidak penting… sesiapa sahaja boleh mengetuai parti dan kerajaan. Tetapi yang penting sekali ialah Perikatan Nasional mesti kembali untuk berkuasa supaya menguruskan negara ini dengan cara yang lebih teratur, lebih berkesan.
“Yang penting juga ialah kita hendak menentukan rakyat jelata mesti ada cukup makan di atas meja mereka,” katanya disambut tepukan pemimpin dan ahli BERSATU yang hadir.