BTS Media

Kabel gentian optik tiada nilai jualan, pencuri berdepan penjara

MEREKA yang masih beranggapan kabel gentian optik boleh dijual sebagai besi buruk perlu berfikir dua kali kerana perbuatan mencuri atau merosakkan infrastruktur telekomunikasi boleh membawa hukuman penjara.

Banyak kejadian kecurian dan vandalisme kabel telekomunikasi berpunca daripada tanggapan salah bahawa kabel tersebut mengandungi tembaga yang mempunyai nilai jualan.

Pencuri lazimnya hanya menyedari kesilapan selepas memotong dan melarikan kabel berkenaan apabila mendapati ia sebenarnya kabel gentian optik yang langsung tidak mempunyai nilai jualan semula.

Perbuatan itu bukan sahaja tidak mendatangkan keuntungan, malah boleh menyebabkan mereka berdepan hukuman penjara.

Menurut statistik, sebanyak 9,431 kejadian kecurian, kerosakan dan vandalisme membabitkan infrastruktur komunikasi dilaporkan oleh 10 penyedia perkhidmatan sepanjang separuh kedua tahun 2025 hingga separuh pertama 2026.

Bagi membendung kegiatan itu, penyedia perkhidmatan melaksanakan pemantauan rangkaian sepanjang 24 jam menerusi pusat pemantauan rangkaian, selain memasang kamera litar tertutup (CCTV).

Langkah keselamatan di lokasi menara komunikasi berisiko tinggi turut dipertingkatkan melalui pemasangan peralatan antikecurian dan antivandalisme, selain penggunaan kod QR.

Sistem pengesahan berasaskan kod QR akan membolehkan orang ramai mengenal pasti kontraktor telekomunikasi yang sah serta mengelakkan penyamaran oleh individu yang mengaku sebagai petugas syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi bagi meneliti pelaksanaan mekanisme berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment