GAMBAR: Purnima Shrestha/Reuters
SEBANYAK 274 pendaki berjaya menawan Mount Everest pada hati Rabu, sekali gus mencatat jumllaah tertinggi pernah direkodkan bagi jumlah pendaki yang tiba di puncak gunung tertinggi dunia itu dalam sehari dari laluan Nepal.
Gunung setinggi 8,849 meter itu terletak di sempadan Nepal dan wilayah Tibet di China serta boleh didaki dari kedua-dua arah.
Pengendali ekspedisi berkata tiada pendaki dari laluan Tibet pada tahun ini berikutan pihak berkuasa China tidak mengeluarkan permit pendakian.
Setiausaha Agung Persatuan Pengendali Ekspedisi Nepal, Rishi Bhandari, berkata rekod tertinggi sebelum ini dari laluan Nepal ialah 223 pendaki pada 22 Mei 2019.
Beliau berkata rekod jumlah pendaki tertinggi dari kedua-dua laluan pula dicatat sehari kemudian, iaitu pada 23 Mei 2019, apabila seramai 354 pendaki berjaya tiba di puncak, menurut Guinness World Records.
Bhandari berkata jumlah 274 pendaki itu merupakan angka tertinggi setakat ini bagi laluan Nepal dan tidak menolak kemungkinan jumlah tersebut boleh meningkat kerana masih ada pendaki yang belum memaklumkan kejayaan mereka kepada kem pangkalan.
Menurutnya, tiada angka rasmi dikeluarkan China mengenai jumlah pendaki dari laluan Tibet apabila kawasan itu dibuka, namun sekitar 100 pendaki biasanya mendaki Everest dari laluan berkenaan sepanjang musim pendakian bulanApril dan Mei.
Rekod hadir bersama risiko kesesakan
Pegawai Jabatan Pelancongan Nepal, Himal Gautam, berkata beliau menerima maklumat awal bahawa lebih 250 pendaki berjaya menawan Everest pada hari Rabu, lapor Reuters.
Beliau berkata pihaknya perlu menunggu pendaki pulang serta mengemukakan gambar dan bukti lain sebelum jumlah rasmi dapat disahkan dan sijil pendakian dikeluarkan.
Nepal telah mengeluarkan 494 permit pendakian Everest tahun ini, dengan setiap permit berharga AS$15,000.
Pakar pendakian gunung sering mengkritik Nepal kerana membenarkan terlalu ramai pendaki berada di gunung berkenaan sehingga menyebabkan kesesakan dan barisan panjang di kawasan dikenali sebagai “zon maut” berhampiran puncak, iaitu kawasan dengan paras oksigen semula jadi yang terlalu rendah untuk kelangsungan hidup manusia.
Nepal sebelum ini mengakui risiko akibat kesesakan dan kehadiran pendaki kurang berpengalaman dengan memperkenalkan kawalan lebih ketat serta menaikkan kadar bayaran permit.
Penganjur ekspedisi dari Austria, Lukas Furtenbach, bagaimanapun berkata jumlah pendaki yang ramai tidak menjadi masalah sekiranya ekspedisi diurus dengan baik dan mempunyai bekalan mencukupi.
Beliau berkata semua pasukannya berada di belakang kumpulan besar pendaki dan tidak terjejas dengan kesesakan tersebut.
Menurutnya, jika pasukan membawa bekalan oksigen mencukupi, keadaan itu tidak akan menjadi masalah besar.
Furtenbach turut membandingkan keadaan di Everest dengan gunung di Alps seperti Zugspitze yang menerima kira-kira 4,000 pengunjung sehari di puncaknya, sambil menyifatkan angka 274 pendaki di Everest sebenarnya tidak terlalu besar memandangkan gunung itu jauh lebih besar.
-BTSMedia.my



