KERAJAAN Madani kini nampaknya goyah apabila ketegangan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional semakin terserlah menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Suasana konvensyen nasional Pakatan Harapan di Johor Bahru menjadi semakin hangat susulan pengumuman Menteri Besar Johor, Onn Hafiz, bahawa Barisan Nasional berhasrat bertanding di kesemua 56 kerusi di negeri itu. Beberapa pemimpin Pakatan menganggap masa pengumuman itu tidak wajar, walaupun terdapat petanda sejak beberapa bulan lalu bahawa BN tidak berminat bekerjasama dengan Pakatan selepas kemenangan besar mereka dalam pilihan raya negeri Johor tahun 2022.
Ucapan beberapa pemimpin Pakatan pada konvensyen tersebut kebanyakannya nampaknya bersifat kritikal terhadap Umno, sekali gus membayangkan betapa hubungan antara kedua-dua pihak begitu merosot sejak kemelut politik di Negeri Sembilan. Keadaan tersebut menyerlahkan keadaan yang sukar dipulihkan.
Anwar, yang mempengerusikan Pakatan, menyeru gabungan itu supaya bertanding di semua kerusi di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Selangor, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh daripada para perwakilan. Seorang penganalisis politik yang berada di dewan berkenaan mendakwa suasana menjadi kecoh apabila ada dalam kalangan perwakilan melaungkan slogan menolak Umno dan melabelkan pihak tertentu sebagai pengkhianat.
Menurut penulis kolum The Star, Jocelyn Tan, ucapan Anwar dianggap telah menaikkan semangat para penyokong dan memberi ruang kepada mereka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Umno. Penganalisis itu turut mendakwa perkembangan tersebut mungkin menandakan permulaan keretakan dalam kerajaan perpaduan Madani.
Pada masa sama, perhatian politik turut tertumpu kepada satu acara berasingan di Petaling Jaya yang dianjurkan Rafizi Ramli serentak dengan konvensyen Pakatan itu. Ia dilihat lebih mencabar kerana menjadi simbol penentangan terhadap pihak yang didakwa cuba menamatkan kerjaya politik beliau sebelum ini.
Dalam acara itu, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa. Mereka menggunakan Parti Bersama Malaysia sebagai platform baharu untuk bertanding dalam pilihan raya umum, dan keluar daripada PKR.
Sekurang-kurangnya enam lagi Ahli Parlimen PKR hadir pada acara berkenaan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan lebih ramai wakil rakyat mengikuti langkah Rafizi. Rafizi nampaknya sedang cuba menarik kembali sokongan blok progresif bandar yang sebelum ini menjadi kekuatan PKR.
Dalam perkembangan lain, Anwar kini terbuka untuk berbincang dengan rakan-rakan Pakatan mengenai kemungkinan mengadakan pilihan raya umum lebih awal. Seorang pemimpin PKR dari Perak mendakwa terlalu banyak krisis politik sedang berlaku dan kelewatan membuat keputusan mungkin memburukkan lagi keadaan.
Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Aminuddin Harun juga berada dalam keadaan tidak stabil, manakala Selangor berdepan tekanan susulan isu larangan penternakan babi yang mencetuskan demonstrasi “Daulat Tuanku” di Shah Alam baru-baru ini.
Walaupun Anwar lantang ketika berucap di konvensyen itu, nada beliau berubah lebih lembut beberapa jam kemudian semasa sesi walkabout di Tebrau. Beliau masih berharap penyelesaian secara baik dapat dicapai di Johor dan merancang nengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, pula berpendapat bahawa kerjasama pilihan raya antara Pakatan dan BN sudah menjadi sesuatu yang sukar. Kedua-dua gabungan itu kini semakin menuju pertembungan terbuka menjelang pilihan raya akan datang.
-BTSMedia.my



