BTS Media

Syed Saddiq umum keluar daripada kerajaan Madani

Oleh Fetty Rara

AHLI Parlimen (MP) Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara rasmi mengumumkan bahawa beliau tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan Madani.

Dalam sebuah video, presiden Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia (MUDA) itu menyifatkan keputusannya sebagai keputusan “sukar”, tetapi berkata ia mesti dilakukan.

Beliau berkata tindakan kerajaan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyukarkan MUDA untuk kekal bersama kerajaan.

“Surat telah dihantar kepada speaker Dewan Rakyat mengenai perkara ini. Jalan di hadapan akan panjang dan sunyi tetapi berbaloi, kerana Malaysia akan sentiasa didahulukan.

“Siapa sangka bahawa kerajaan reformasi inilah yang akhirnya menggugurkan tuduhan rasuah demi kuasa?”

“Diugut. Saya melawan balik. Saya melawan kerana saya mahu membina Malaysia yang bermaruah dan berintegriti.

“Saya tidak akan sekali-kali membenarkan Malaysia menormalkan rasuah. Saya seorang rakyat Malaysia yang berbangga ingin melihat negara bertuah ini menjadi negara maju yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan meraikan kepelbagaian,” kata Syed Saddiq.

Sebagai ahli Parlimen tunggal parti MUDA, beliau berkata beliau akan memberi tumpuan untuk menjadi kuasa ketiga dalam blok pembangkang dan menjadi suara rakyat sebagai semak dan imbang.

Walaupun beliau telah membuat keputusan ini, beliau berkata MUDA akan terus menyokong semua usaha berbentuk institusi dan isu-isu yang melibatkan rakyat.

“Saya akan bersiaran langsung pada pukul 8.30 malam ini untuk menjelaskan. Anda semua dijemput dan bertanya apa-apa soalan. Saya tidak akan lari,” tambahnya.

-BTS Media

Leave a Comment