Kabinet bersetuju dengan tujuh langkah proaktif jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan termasuk menyegerakan proses pembayaran pendahuluan tuntutan subsidi harga ayam berjumlah RM157.53 juta kepada penternak kecil dan sederhana.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata langkah seterusnya adalah memudah cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ke atas empat komoditi iaitu soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan.
Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, ini melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan ‘priority lane’ bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam di pasaran kembali stabil.
“(Selain itu) mempercepat proses keperluan lesen pengimportan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai ini dengan proses kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja berbanding dengan 30 hingga 90 hari yang akan memberi manfaat kepada 380 syarikat pengimport bahan makanan ternakan.
“Memberikan pengecualian khas bagi pengambilan pekerja asing dalam industri penternakan ayam mengikut keperluan bagi membolehkan aktiviti penternakan ayam beroperasi pada tahap optimum sekali gus menjamin kesinambungan pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut dipersetujui, kata beliau, melaksanakan semakan semula ke atas tarif elektrik sektor agro-makanan untuk mengurangkan beban kos operasi pengeluar makanan.
Di samping, mewujudkan kaedah pelaksanaan simpanan stok ayam untuk menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang membabitkan Pertubuhan Peladang secara gabungan dan akan mula dilaksanakan serta merta.
“Secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan tempatan. Bagaimanapun, bekalannya sudah menunjukkan trend bekalan yang lebih rendah berbanding keperluan bulanan bermula pada Februari lalu, namun bekalan semakin beransur pulih dan dijangka akan kembali stabil bermula bulan ini,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya sedang giat melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.
“Setakat ini, sebanyak 1,644 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM113.2 juta sudah diluluskan oleh MAFI. Kerajaan sudah meluluskan pemberian subsidi pada kadar RM0.60/kg dari 5 Februari hingga 30 Mac lalu dan subsidi ini dinaikkan kepada RM1.40/kg bagi tempoh 1 April lalu sehingga 30 Jun ini.
“Semua penternak boleh terus kemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan. Kerajaan akan terus memainkan peranan efektif dengan kerjasama semua pihak bagi menjamin kemampuan memperoleh bekalan makanan mencukupi dan selamat pada harga berpatutan secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan bersidang secara mingguan bagi memantau status bekalan komoditi utama makanan negara serta mengenal pasti isu dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap isu sekuriti makanan negara.
“Satu Kluster Dasar Sekuriti Makanan yang baharu sudah diwujudkan iaitu Kluster Komunikasi Strategik di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) bagi memastikan rakyat mendapat mesej dan maklumat sekuriti makanan negara yang berterusan dan efektif.
“Selain menyampaikan inisiatif-inisiatif kerajaan berhubung sekuriti makanan. Kerajaan memandang serius apa-apa isu membabitkan bekalan makanan dan kos sara hidup,” katanya.