BTS Media

Ayam segar: Bekalan pulih, tapi harga pula naik

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Masalah kurang bekalan ayam di Kelantan sudah reda, tapi timbul pula isu harga tinggi.

Bekalan ayam segar di negeri itu pulih sejak seminggu lalu setelah peniaga mendapat stok mencukupi daripada pembekal, lapor Harian Metro pada Selasa.

Tinjauan akhbar itu di Pasar Besar Siti Khadijah Kota Bharu, mendapati rata-rata peniaga mempunyai bekalan mencukupi setelah mendapat hantaran daripada sumber di Kelantan atau Perak.

Peniaga ayam, Rusmini Hanafi, 48, berkata, dia mendapat ayam yang cukup sebanyak 300 ekor sehari, berbanding sekitar 100 hingga 150 ekor sehari sebelum ini.

“Alhamdulillah bekalan ayam sudah cukup, namun harganya sedikit tinggi menyebabkan tidak ramai pelanggan yang datang membeli di kedai.

“Namun, saya bersyukur kerana ada pelanggan tetap seperti pengusaha kantin hospital dan pemilik kedai makan yang mengambil bekalan dengan saya,” katanya yang berniaga ayam lebih 20 tahun yang lalu.

Pemborong ayam, Kamariah Hanafi, 58, berkata, dia mendapat bekalan ayam daripada pembekal antara 500 hingga 800 ekor sehari.

Katanya, ayam yang diperoleh daripada pembekal dengan harga RM8.90 sekilogram sebelum dijual kepada penjual dan peruncit.

“Bekalan ayam sudah pulih, namun harga makin naik, saya hanya dapat untung yang kecil tapi tak mengapa asalkan bekalan setiap hari habis dijual,” katanya.

Pembeli, Abdul Kadir Ali, 73, berkata, harga ayam sangat mahal iaitu RM9.50 sekilogram menyebabkan pengguna rasa terbeban.

“Saya berharap kerajaan memantau harga memandangkan bekalan sudah pulih dan saya lihat bekalan ayam di pasar juga banyak,” katanya.

Baca lagi: https://www.msn.com/en-my/news/berita/bekalan-ayam-stabil-harga-pula-naik/ar-AAY9YB5?bk=1&bk=1&ocid=msedgntp&cvid=56c12615283045199bfdd33fad3c7410

Leave a Comment