GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff.
Bekalan ayam segar di negeri ini dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han, berkata sehingga kini, bekalan di Johor mencukupi termasuk disebabkan permintaan terhadap ayam menurun selepas musim perayaan.
Beliau juga menjelaskan, pemantauan harga kawalan bagi hasil ternakan itu masih diteruskan sehingga 30 Jun ini.
“Permintaan terhadap ayam menurun selepas musim perayaan, ditambah keputusan kerajaan yang mengenakan sekatan eksport ayam segar ke luar negara. Ia juga selaras dengan usaha kerajaan yang memberi subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke ladang telur di Yong Peng, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.
Ting Han memaklumkan, kerajaan negeri dalam perancangan merangka mekanisme baharu bagi membantu peladang dan rakyat secara keseluruhannya.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan RM101,300 kompaun membabitkan 42 kes sejak skim kawalan harga maksimum ayam dikuatkuasakan pada Februari lalu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bekalan telur di negeri ini turut mencukupi dan meminta orang awam tidak melakukan pembelian panik.