BTS Media

Tak betul panggil undang-undang dicadangkan oleh Ahmad Zahid sebagai FTPA

CADANGAN supaya undang-undang khas digubal bagi menghalang percubaan menjatuhkan kerajaan yang bersidang tidak seharusnya disifatkan sebagai Akta Parlimen Jangka Tetap (FTPA), kata seorang bekas speaker Dewan Rakyat.

Azhar Azizan Harun berkata FTPA direka untuk menghalang seorang perdana menteri daripada memanggil pilihan raya mengejut pada bila-bila masa sebelum tempoh lima tahunnya tamat tanpa kelulusan Parlimen.

Beliau berkata, FTPA bukannya bertujuan untuk menghalang mana-mana kerajaan daripada dijatuhkan secara sah melalui undi tidak percaya atau apabila ia gagal meluluskan bajet,” kata Azhar kepada portal berita FMT.

Azhar mengulas cadangan timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi supaya rang undang-undang khas dibentangkan di Dewan Rakyat bagi mengelakkan sebarang cubaan menggulingkan kerajaan.

Zahid, yang juga presiden UMNO berkata undang-undang itu penting bagi memastikan kerajaan gabungan yang memerintah terus berkuasa hingga tamat tempoh, dan untuk menghapuskan langkah pembangkang untuk menukar kerajaan.

Beliau berkata apa yang diperkatakan oleh Zahid telah disalah tafsir sebagai FTPA, sambil menambah bahawa istilah yang salah itu telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Susulan cadangan Zahid itu, menteri undang-undang dan pembaharuan institusi Azalina Othman Said, bekas menteri undang-undang Takiyuddin Hassan dan media merujuk kepada perundangan yang dicadangkan sebagai FTPA.

Cadangan itu, bagaimanapun, mengundang pelbagai reaksi daripada kedua-dua pihak.

Bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula cadangan undang-undang tersebut bukan satu keutamaan.

Azhar berkata beliau tidak  tahu mana-mana negara Komanwel yang mengamalkan sistem parlimen Westminster mempunyai undang-undang menghalang kerajaan daripada diganti kerana kurang keyakinan dalam kalangan ahli Parlimen, sama ada ditunjukkan melalui undi tidak percaya atau cara undang-undang lain.

Beliau berkata, jika undang-undang itu diluluskan Malaysia akan menjadi negara pertama berbuat demikian,” kata Azhar, yang merupakan speaker dewan dari bulan Julai 2020 hingga Disember 2022.

Azhar, yang merupakan seorang peguam berkata pada tahun 2017, perdana menteri British Theresa May telah memperoleh kelulusan Dewan Rakyat bagi membenarkan beliau mengadakan pilihan raya mengejut.

Beliau menjelaskan bahawa FTPA British itu membenarkan seorang perdana menteri mengadakan pilihan raya mengejut dengan terlebih dahulu memperoleh majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

“Kuasa untuk membubarkan parlimen adalah senjata politik yang sangat penting bagi mana-mana perdana menteri. Beliau boleh memanggil pilihan raya mengejut dengan membubarkan parlimen pada bila-bila masa, itulah sebabnya FTPA penting untuk mencegah penyalahgunaan dan memberi kepastian bila pilihan raya umum boleh diadakan,” katanya.

Sementara itu, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata baik FTPA mahupun undang-undang anti-lompat tidak boleh menghalang pembubaran kerajaan gabungan selepas pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau berkata FTPA meningkatkan demokrasi dan kuasa komponen lain dalam kerajaan campuran bagi memaksa sokongan majoriti dua pertiga untuk perdana menteri memohon pembubaran awal Parlimen.

“Ini bermakna tiada perdana menteri boleh secara sepihak memanggil supaya diadakan  pilihan raya jika komponen-komponen lain kerajaannya tidak bersedia.”

-BTS Media

Leave a Comment