SEORANG penunggang motosikal mencetuskan kemarahan orang ramai selepas tindakannya meredah sekumpulan murid sekolah yang sedang melintas di lintasan pejalan kaki di Taman Kamariah, Jalan Gombak, Kuala Lumpur dirakam video dan tular di media sosial.
Rakaman tersebut menunjukkan puluhan murid berpakaian seragam sekolah sedang melintas di sebuah persimpangan sibuk ketika lampu isyarat pejalan kaki masih aktif.
Walaupun kenderaan lain masih berhenti di lampu merah, penunggang motosikal yang memakai topi keledar biru dan jaket gelap itu bertindak mara ke hadapan kerana dipercayai tidak sabar menunggu murid-murid selesai melintas.
Dia dilihat bergerak perlahan sambil mencelah di antara murid sekolah, bukannya menunggu laluan pejalan kaki itu kosong sepenuhnya.
Beberapa murid kelihatan terkejut apabila motosikal tersebut melalui terlalu dekat dengan mereka, malah ada yang terpaksa mengelakkan daripada dilanggar.
Tidak lama kemudian, beberapa lagi penunggang motosikal di belakang turut dilihat bergerak walaupun lampu isyarat masih merah, sekali gus mengundang kecaman lebih hebat daripada pengguna media sosial.
Orang ramai menyifatkan tindakan itu sebagai cuai dan berbahaya, khususnya kerana melibatkan keselamatan kanak-kanak sekolah.
Seorang pengguna Facebook, Mohsein Bin Mohamed, berkata bahawa terlalu ramai penunggang motosikal gemar melanggar lampu merah dan bersikap tidak sabar.
Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penunggang terbabit.
-BTSMedia.my



