Oleh Yusoff A. Shariff
SEORANG pelajar berusia 15 tahun diserang di sebuah sekolah di Jerman kerana memakai rantai yang bertulis “Allah,” kata pihak berkuasa pada hari Sabtu, lapor Agensi Anadolu.
Insiden itu adalah yang terbaharu dalam rentetan serangan Islamofobia sejak meningkatnya konflik Israel-Palestin bulan lalu.
Polis Jerman dalam kenyataan berkata, serangan itu berlaku di sebuah sekolah tinggi di Wilhelmstadt, Berlin pada petang hari Jumaat, dan mereka kini sedang menyiasat.
Sekurang-kurangnya lima rakan sekelas menyerang pelajar itu di bilik air sekolah, meragut  rantai, dan memukulnya, kata polis.
Seorang guru memberikan bantuan perubatan awal kepada mangsa, yang kemudiannya dibawa ke hospital, menurut kenyataan itu.
Masyarakat Islam Jerman melaporkan peningkatan jenayah anti-Muslim dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dicetuskan oleh propaganda puak politik sayap kanan dan liputan media yang berat sebelah mengenai konflik Gaza.
Dengan jumlah penduduk lebih 84 juta orang, Jerman mempunyai bilangan penduduk Islam kedua terbesar di Eropah Barat selepas Perancis. Terdapat hampir 5.3 juta orang Islam di negara itu, di mana lebih tiga juta berasal dari Turki.
-BTS Media