BTS Media

Pembukaan sekolah baharu di kawasan lebih padat penduduk

KEMENTERIAN Pendidikan memberi keutamaan untuk membuka sekolah baharu di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa kawasan di Johor.

Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pihaknya sedang mencari lokasi sesuai untuk pembinaan sekolah baharu di kawasan itu memandangkan kesukaran mendapatkan tanah antara kekangan sedang dihadapi oleh kementerian.

“Klang sebagai contoh, ini antara kawasan paling padat dan ada sekolah yang bilangan pelajarnya 4,000 orang membabitkan dua sesi iaitu pagi dan petang.

“Beberapa usaha telah dibuat untuk kita dapatkan sekolah-sekolah baharu di kawasan ini, namun begitu di kawasan-kawasan padat ini kekangan utama kita adalah tanah kerana tidak semua kawasan ini ada tanah telah tersedia (untuk pembinaan sekolah),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang serta perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (2) ke-10, di Putrajaya semalam (Sabtu 25 Jun).

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata pihaknya mendapati sesetengah kawasan perumahan yang jumlah penduduknya meningkat dengan mendadak dan pembangunan perumahan di kawasan tersebut berlaku dengan cepat.

“Jadi kita mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan di kawasan-kawasan ini,” katanya sambil menambah secara purata 10 buah sekolah baharu dibina setiap tahun.

Leave a Comment