AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi, mengumumkan beliau keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta, dan mendakwa parti itu, khususnya di Johor, tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dipengaruhi pihak istana.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Puad berkata keputusannya itu membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara terbuka terhadap UMNO tanpa lagi berdepan tuduhan mengkhianati parti.
Beliau mendakwa antara bukti campur tangan tersebut ialah pengakuan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, dalam satu pertemuan pada 21 Jun lalu bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat susulan titah pihak istana pada 1 Jun 2026. Puad turut mendakwa terdapat beberapa lagi keadaan yang menunjukkan kepimpinan UMNO Johor hanya mengikut arahan sehingga menjadikan parti itu sekadar “boneka”.
Setakat ini, pihak media dilapor sedang mendapatkan maklum balas daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, serta Onn Hafiz berhubung dakwaan berkenaan.
Puad turut menolak tanggapan bahawa tindakannya didorong kepentingan peribadi.
Menurut beliau, tindakannya adalah satu bentuk keberanian politik bagi mendedahkan perkara yang disifatkannya sebagai kemungkaran sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Beliau mengakui bersedia berdepan kecaman, penghinaan dan kemungkinan ancaman terhadap keselamatannya, selain menegaskan beliau tidak mahu UMNO dipimpin oleh mereka yang disifatkannya sebagai “pengecut politik” sehingga menjejaskan imej Barisan Nasional.
Semalam, Puad memaklumkan bahawa beliau akan membuat satu pengumuman penting pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Johor selepas menyifatkan perkembangan dalam UMNO Johor sebagai membimbangkan. Beliau turut menjelaskan bahawa kebimbangannya timbul selepas meneliti senarai calon Barisan Nasional.
Sebelum itu, Puad menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Rengit bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berpendidikan. Bagaimanapun, beliau mendakwa cadangan tersebut tidak diberi perhatian oleh kepimpinan parti.
-BTSMedia.my



