Oleh Yusoff A. Shariff
PEMANDU kereta yang merempuh enam penunggang motosikal yang berlindung daripada hujan di bawah jejambat di Kilometer 19.6 Lebuhraya Baharu Lembah Klang (arah selatan) dekat Petaling Jaya semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Polis daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki tempatan berusia 26 tahun itu yang mengalami patah bahu sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur.
Beliau berkata polis telah selesai mengambil keterangannya semalam.
“Hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah, namun ujian alkohol mendapati paras alkohol dalam badannya melebihi paras dibenarkan,” kata Mohamad Fakhrudin, lapor Bernama.
Beliau berkata polis juga telah merekodkan keterangan beberapa orang lagi dan masih menyiasat kes itu.
Dalam kejadian itu, tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera apabila dirempuh sebuah kereta ketika mereka berteduh daripada hujan di bawah jambatan atas di sepanjang NKVE dekat Petaling Jaya pada pukul 5.59 pagi semalam.
Siasatan awal mendapati pemandu kereta yang berasal dari ibu negara itu dalam perjalanan menuju ke Cyberjaya apabila hilang kawalan kenderaannya sebelum merempuh mangsa.
-BTS Media