BAITULMAQDIS – Polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis mengakibatkan tujuh daripada mereka cedera sementara 200 rakyat Palestin ditahan.
Serbuan itu dilakukan sebelum masuk waktu Subuh pada Rabu, dengan polis Israel mendakwa mereka bertindak balas terhadap ‘rusuhan’.
Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan, terdapat mangsa yang cedera dan pihak Israel dilaporkan menghalang pegawai perubatannya daripada sampai ke Al-Aqsa.
Menurut saksi, polis Israel turut melontar bom tangan.
Terdapat kebimbangan keganasan seterusnya akan berlaku terutama ketika umat Islam menyambut bulan Ramadan ketika ini dan Syawal tidak lama lagi.
Pejuang Palestin turut mengutuk serangan terbaharu ke atas jemaah yang disifatkan mereka sebagai tindakan jenayah.
Jordan, yang bertindak sebagai penjaga tapak suci Kristian dan Muslim Baitulmaqdis di bawah pengaturan status quo sejak perang 1967 mengecam tindakan Israel yang menyerbu kawasan itu.
Sementara itu, Kementerian Luar Mesir menggesa agar serangan ke atas jemaah Al-Aqsa dihentikan.
– Awani/Sinar Harian