BTS Media

Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel di Semenanjung Gaza – Saifuddin

 

Oleh Zainal AS Rashid

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel ke atas Gaza yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu (6 Ogos), beliau berkata Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa memberikan tekanan segera terhadap rejim Zionis Israel supaya menghentikan pencabulan dan pencerobohan terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata kekejaman terbaharu Israel ini adalah pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

Saifuddin berkata tidak seharusnya wujud tindakan berbeza dalam menangani konflik, dan masyarakat dunia mesti mengecam Israel atas serangan provokatif yang mementingkan diri sendiri dan dasar aparteid terhadap hak asasi, kehidupan, mata pencarian dan maruah rakyat Palestin semua agama di bumi mereka sendiri.

Beliau berkata Malaysia terus menegaskan sokongan tidak berbelah bagi serta solidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan untuk mencapai kebebasan daripada penjajahan Israel.

Dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza pada Jumaat (5 Ogos) itu, sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh , manakala 80 lagi cedera.

-BTS Media

Leave a Comment