BTS Media

Amerika Syarikat terus pertahan pendudukan Israel di wilayah Palestin

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) semalam menyuarakan bantahan terhadap cadangan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menuntut Israel menamatkan pendudukan di Palestin, meskipun Washington mengkritik sekutunya dalam isu itu.

Beberapa hari sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (PBB) mengenai konflik Israel-Palestin, kandungan deraf resolusi yang dilihat oleh AFP, menuntut Israel ‘segera dan sepenuhnya menghentikan’ penempatan di kawasan Palestin yang diduduki.

Teks itu dibuat selepas kritikan hampir sebulat suara dalam kalangan kuasa besar termasuk AS terhadap keputusan kerajaan berhaluan kanan Israel untuk memberikan kebenaran retroaktif kepada beberapa pos penempatan di Tebing Barat yang diduduki dan membina rumah baharu.

White House, semalam berkata, mereka ‘sangat kecewa’ dengan keputusan Israel.

Bagaimanapun, Jabatan Negara AS menjelaskan bahawa AS, yang menggunakan kuasa veto di UNSC, tidak akan menyokong resolusi yang dimulakan oleh Emiriah Arab Bersatu, (UAE) sekutu AS yang menjalin kembali hubungan diplomatik dengan Israel.

“Pandangan kami ialah pengenalan resolusi ini tidak membantu dalam menyokong syarat yang diperlukan untuk memajukan rundingan penyelesaian dua negara.

“Sama seperti apa kami percaya bahawa laporan yang dikeluarkan Israel pada Ahad lalu juga tidak membantu,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel, yang merujuk kepada keputusan penempatan Israel.

Beliau juga berkata, sama ada AS akan menggunakan kuasa vetonya – buat pertama kali di bawah Presiden AS, Joe Biden, yang sebelum ini menuduh Russia menyalahgunakan kuasa vetonya.

“Saya tidak akan membuat spekulasi atau membuat hipotesis mengenai proses itu (penggunaan kuasa veto).

“Kami tetap menumpukan untuk menyokong syarat-syarat yang diperlukan untuk memajukan prospek penyelesaian dua negara yang dirundingkan antara Israel dan Palestin.

“Kami percaya ini adalah satu-satunya jalan untuk menamatkan konflik secara mampan,” kata Patel kepada pemberita di Washington.

AS selama beberapa dekad sering campur tangan di PBB untuk melindungi Israel daripada sebarang resolusi.

bagaimanapun, pada minggu-minggu terakhir pentadbiran bekas presiden Barack Obama, Washington dilihat berkecuali dan membenarkan resolusi yang turut menggesa semua aktiviti penempatan Israel dihentikan.

Pentadbiran Biden pula berusaha untuk mengekalkan hubungan dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, walaupun turut mengkritik keputusan penyelesaian itu.

Resolusi PBB itu, yang kini masih dalam bentuk deraf, ‘menegaskan semula bahawa penubuhan penempatan oleh Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitulmuqaddis Timur, tidak mempunyai kesahihan undang-undang dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa’.

Ia juga ‘mengutuk semua percubaan pendudukan termasuk keputusan dan langkah oleh Israel mengenai penempatan, termasuk pos penempatan’ malah turut menggesa tindakan sebaliknya diambil.

Teks oleh UNSC juga ‘mengulangi tuntutannya supaya Israel dengan segera dan sepenuhnya menghentikan semua aktiviti penempatan di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur dan menghormati sepenuhnya semua kewajipan undang-undangnya dalam hal itu’.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2023/02/1065451/tolak-resolusi-pendudukan-haram-israel-oleh-pbb

 

Leave a Comment