BTS Media

Persoalan baik buruknya letak wilayah persekutuan di bawah Anwar

GAMBAR ATAS: Luke Ma, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons.

 

TINDAKAN menukar Kementerian Wilayah Persekutuan kepada jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan, dan sama ada Anwar Ibrahim akan menjadi menteri de facto di samping portfolio yang telah pun dipegangnya.

Penstrukturan semula pentadbiran itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali pada 23 Dis.

Zuki turut menamakan Rosida Jaafar sebagai ketua pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan yang baharu.

Peguam Rafique Rashid berkata pengguguran portfolio menteri adalah langkah yang baik kerana ia akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan, lapor MalaysiaNow.

Namun begitu, beliau berkata kementerian yang sebelum ini berdiri sendiri akan berada di bawah naungan Anwar, yang sudah pun memegang portfolio kewangan sebagai tambahan kepada jawatan tertinggi negara.

Memandangkan tiada lagi menteri yang bertanggungjawab di wilayah persekutuan, beliau berkata, persoalan akan timbul sama ada Anwar akan memegang peranan itu juga.

“Adakah kita akan mempunyai Anwar sebagai perdana menteri, Anwar sebagai menteri kewangan dan Anwar sebagai menteri de facto wilayah persekutuan?

“Ini adalah sesuatu yang beliau mesti berlaku telus. Apakah peranan Rosida akan menggantikan peranan menteri, atau hanya sekadar nama?

“Selagi perkara ini tidak dijelaskan, Anwar adalah menteri de facto wilayah persekutuan,” katanya.

Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1979 untuk menyelaras perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang.

Pada 1981, ia telah diturun taraf sebagai satu unit di bawah JPM yang dikenali sebagai Unit Perancang Lembah Klang.

Ia diberikan status kementerian sekali lagi pada 2004, di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, dengan Isa Abdul Samad dilantik sebagai menterinya.

Tumpuan khusus kemudiannya diberikan kepada kemajuan Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Rafique berkata satu lagi isu yang menarik ialah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kuasa Lembaga Pengampunan.

Jika sesuatu kes dibicara dan dikendalikan di Kuala Lumpur, beliau berkata, menteri yang bertanggungjawab ke atas wilayah persekutuan akan menjadi antara ahli lembaga yang bersidang.

“Ini bermakna dia akan menjadi sebahagian daripada komposisi atau ahli mana-mana lembaga pengampunan berkaitan kes serantau,” katanya.

Menyedari bahawa kes bekas perdana menteri Najib Razak sedang berjalan di Kuala Lumpur, beliau berkata ini akan menjadi “isu undang-undang yang sangat penting”.

Menurut Perkara 42, Agong mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan dan menangguhkan hukuman atau pelepasan undang-undang selepas mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan, yang terdiri daripada beberapa pihak termasuk peguam negara.

Rafique berkata pengumuman itu berkemungkinan mencetuskan konflik kerana kerajaan sekarang terdiri daripada gabungan, termasuk Barisan Nasional dan parti utamanya UMNO.

“Terdapat juga isu bekas perdana menteri dari UMNO, yang mungkin terpaksa bergantung kepada Lembaga Pengampunan dalam kes perbicaraan SRC International yang menyaksikan dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun.”

Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata, terdapat beberapa kemungkinan di sebalik alasan meletakkan kementerian itu di bawah bidang kuasa JPM.

Pertama, beliau berkata, perdana menteri mungkin mahu kawasan dalam wilayah persekutuan diuruskan terus di bawah JPM, bagi membolehkan pemantauan rapi kemajuan.

“Terdapat banyak isu di bawah naungan wilayah persekutuan,” katanya.

“Sebagai contoh, terdapat banyak masalah berkaitan perkara penyelewengan tanah sejak beberapa tahun lalu, memandangkan Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang mempunyai nilai hartanah yang tinggi.

“Kita telah mendengar banyak isu berkaitan rasuah di bawah kementerian ini.”

Dengan meletakkan kementerian itu di bawah JPM, beliau berkata, Anwar boleh memantau perkara berkenaan secara langsung bagi memastikan masalah seperti rasuah dan salah laku tidak timbul.

Mazlan juga berkata adalah lebih mudah untuk meletakkan Putrajaya, hab pentadbiran negara, di bawah seliaan JPM, terutamanya dalam perancangan dan pembangunan wilayah itu.

“Dan di bawah pentadbiran baharu ini, wilayah persekutuan akan ditadbir oleh seorang ketua pengarah, jadi kuranglah berpolitik.

“Kita tahu kementerian wilayah persekutuan menjadi tumpuan ahli perniagaan mencari peluang.

“Mungkin perdana menteri mempunyai visi untuk memansuhkan kementerian dan meletakkannya di bawah JPM.”

-BTS Media

Leave a Comment