BTS Media

Kabinet Anwar angkat sumpah di hadapan Agong di Istana Negara

Oleh Zainal AS Rashid

KESEMUA menteri baharu, termasuk dua Timbalan Perdana Menteri telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Turut hadir dan menyaksikan istiadat mengangkat sumpah jawatan, taat setia dan kerahsiaan ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat yang diadakan di Balairung Seri Istana Negara itu bermula sekitar pukul 3.00 petang dengan lagu Negaraku.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov. Kabinet beliau dianggotai seramai 28 menteri.

Para menteri mengangkat sumpah dalam enam kumpulan, dengan dua timbalan perdana menteri, iaitu pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang pertama mengangkat sumpah jawatan.

Ahmad Zahid juga akan memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, manakala Fadillah akan menjadi Menteri Perladangan dan Komoditi.

Kumpulan seterusnya terdiri daripada Anthony Loke, yang akan kembali ke Kementerian Pengangkutan seperti mana semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan antara 2018 dan 2020, Mohamad Sabu (Pertanian dan Keselamatan Makanan), Rafizi Ramli (Ekonomi), Nga Kor Ming (Pembangunan Kerajaan Tempatan) dan Mohamad Hasan (Pertahanan).

Mereka diikuti kumpulan ketiga terdiri daripada Alexander Nanta Linggi (Kerjaya Raya), Saifuddin Nasution Ismail (Dalam Negeri), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Mohamed Khaled Nordin (Pendidikan Tinggi) dan Chang Lih Kang (Sains dan Teknologi).

Kumpulan keempat terdiri daripada Nancy Shukri (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Salahuddin Ayub (Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), Azalina Othman Said (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Ewon Benedick (Pembangunan Usahawan dan Koperasi).

Kumpulan kelima terdiri daripada Zambry Abdul Kadir (Luar Negeri), Tiong King Sing (Pelancongan), Fahmi Fadzil (Komunikasi Digital), Fadhlina Sidek (Pendidikan) dan Aaron Ago Dagang (Perpaduan).

Kumpulan terakhir ialah Mohd Na’im Mokhtar (Hal Ehwal Agama), Hannah Yeoh (Belia dan Sukan), Sivakumar Varatharaju (Sumber Manusia), Dr Zaliha Mustafa (Kesihatan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Armizan Mohd Ali.

Anwar juga akan juga memegang portfolio Menteri Kewangan.

Selepas mengangkat sumpah jawatan, semua menteri menandatangani surat cara pelantikan rasmi, disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Pagi tadi, Saifuddin, Zafrul, Zambry dan Dr Mohd Na’im mengangkat sumpah sebagai Senator sebelum menyandang portfolio menteri.

Anwar sebelum ini berkata timbalan menteri hanya akan dinamakan di kemudian hari.

-BTS Media

Leave a Comment