BTS Media

Treler langgar 12 kenderaan, penunggang motosikal maut

GAMBAR ATAS: Facebook.

 

Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan di Jalan Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.

Tan Hai Kok, 46, maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dirempuh dari belakang oleh sebuah treler yang dikatakan mengalami masalah brek kira-kira 6.25 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Lee Chong Chern berkata siasatan mendapati 12 kenderaan dalam kedudukan sebaris di jalan itu membabitkan dua penunggang motosikal dan 10 pemandu kereta, termasuk van kilang.

“Pada masa sama, datang sebuah treler dipercayai mengalami masalah brek yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun melanggar kesemua kenderaan itu dari arah belakang sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut, termasuk semua kenderaan terbabit mengalami pelbagai kerosakan.

“Seorang lagi penunggang motosikal wanita mengalami luka di bahu serta kaki kiri dan seorang pemandu kereta cedera di pinggang, manakala mangsa selebihnya berusia 25 hingga 64 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dipetik Harian Metro.

Susulan itu, katanya, polis menahan pemandu treler terbabit untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing pemandu treler itu mendapati dia negatif dadah. Saksi bebas juga sedang dikesan, memandangkan tiada liputan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan.”

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera diberi rawatan lanjut di hospital sama.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Comment