Oleh Fetty Rara
DUA remaja maut selepas berlanggar antara satu sama lain semasa perlumbaan jalanan di Pantai Puteri, Melaka pada Ahad (6 Nov).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian dalam kemalangan pada pukul 4.20 pagi itu.
Polis mengenal pasti mangsa sebagai Khairul Nizam Sham, 18 tahun dari Jalan Lama, Sungai Petai, Alor Gajah dan pelajar Tingkatan Tiga berusia 15 tahun.
ACP Christopher Patit berkata siasatan awal mendapati mangsa berlumba dengan dua penunggang motosikal lain di sepanjang jalan menghala ke Tangga Batu dari Pelabuhan Tanjung Bruas.
Katanya, mangsa bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan pada kelajuan tinggi.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-BTS Media