GAMBAR ATAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Oleh Fetty Rara
Polis menahan pemandu treler sarat dengan muatan pagar besi bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lagi treler yang menyebabkan lima maut terbakar di KM245.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah utara dekat Kuala Kangsar, awal Khamis (12 Mei).
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 1.45 pagi dan lelaki berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler yang mengangkut jubin mozek menghala ke utara memandu di lorong kanan kerana lorong kiri dari KM246 ke KM244.4 ditutup untuk penyelenggaraan jalan.
Pada masa sama, sebuah kereta berada di belakang treler apabila tiba-tiba sebuah lagi treler membawa pagar besi dari arah yang sama tidak dapat membrek tepat pada masanya dan merempuh bahagian belakang kereta itu.
Treler itu kemudian melonjak ke hadapan dan kereta yang mengekorinya melanggar bahagian belakang treler jubin mozek.
Beliau berkata susulan rempuhan itu, kereta dinaiki lima lelaki dipercayai pelajar berusia 19 hingga 23 tahun dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Chukai, Terengganu; Parit Buntar, Perak; Batu Caves, Selangor dan Senai, Johor, telah terbakar sebelum api merebak ke treler di belakang.
Pemandu dan empat penumpang dalam kereta itu tersepit, tidak sempat menyelamatkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bomba mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kereta sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
-BTS Media