MEMANDANGKAN risiko jangkitan, Selangor akan melancarkan program vaksinasi influenza percuma untuk murid sekolah di empat daerah dengan jumlah kes tertinggi, iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat bermula minggu depan.
Inisiatif yang melibatkan lebih 12,500 murid dengan peruntukan sebanyak RM1 juta itu akan dilaksanakan melalui dua pendekatan utama.
Pendekatan pertama melibatkan program jangkauan di sekolah yang mempunyai Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menyasarkan kira-kira 4,720 murid berumur lapan tahun ke bawah daripada keluarga berpendapatan rendah. Peserta akan menerima risalah maklumat serta kod QR untuk pendaftaran melalui aplikasi SELangkah.
Pelaksanaan program ini akan dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Selcare Management Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pentadbiran sekolah serta pusat khidmat masyarakat.
Kaedah kedua pula melibatkan vaksinasi melalui kaunter walk-in di Klinik Selcare dan klinik panel terpilih. Ibu bapa perlu mendaftar dan mengesahkan kelayakan melalui aplikasi SELangkah sebelum hadir untuk mendapatkan suntikan.
-BTSMedia.my



