BTS Media

Isa Samad kekal dipenjara selepas permohonan semakan ditolak Mahkamah Persekutuan

BEKAS Pengerusi Felda, Datuk Seri Mohd Isa Abdul Samad, kekal dipenjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk menyemak semula keputusan terdahulu yang mengembalikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.

Panel semakan tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, memutuskan bahawa permohonan Mohd Isa tidak mempunyai merit. Mahkamah berpendapat bahawa hak beliau untuk didengar dan membuat rayuan telah pun diberikan dalam prosiding terdahulu di mahkamah tertinggi negara.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Mohd Isa selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan dan membebaskannya pada 6 Mac 2024.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 77 tahun itu kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.

-BTSMedia.my

Leave a Comment