BTS Media

Agong lucut gelaran Tan Sri Isa Samad

GAMBAR: NSTP

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah melucutkan gelaran “Tan Sri” yang disandang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Isa Samad.

Pelucutan gelaran itu dibuat susulan sabitan terhadap Isa atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta yang dikaitkan dengan urusan pemerolehan Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation.

Isa, 77, sedang menjalani hukuman penjara selama enam tahun di Penjara Sungai Buloh sejak 10 Februari lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula sabitan, hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya.

Pada 6 Mac 2024, Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Isa daripada kesemua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta yang berkaitan dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta daripada Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, menerusi bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.

Menurut pertuduhan, wang berkenaan didakwa sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Isa bagi pembelian MPHS oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Terdahulu tahun ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan 26 Jun sebagai tarikh pendengaran permohonan Isa untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan terdahulu yang mengembalikan sabitan kes rasuah, hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang dikenakan terhadapnya.

-BTSMedia.my

Leave a Comment