MAHKAMAH Persekutuan memerintahkan Tan Sri Isa Samad menjalani hukuman penjara enam tahun berhubung kes rasuah.
Hakim Datuk Nordin Hassan mengembalikan semula hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta terhadapnya.
Keputusan tersebut berkait dengan sembilan pertuduhan rasuah membabitkan kira-kira RM3 juta berhubung pemerolehan Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation.
Isterinya, Bibi Sharliza Mohd Khalid, kelihatan menangis ketika ahli keluarga lain cuba menenangkannya, manakala beberapa yang lain turut dilihat berpelukan antara satu sama lain.
Isa kekal tenang sepanjang hakim menyampaikan penghakiman yang mengambil masa lebih sejam sebelum beliau segera dibawa oleh polis ke bilik tahanan sebaik prosiding berakhir.
Ahli keluarganya kemudian meninggalkan mahkamah dan menuju ke kawasan lokap untuk bertemu dengannya, dan beliau akan menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.
Mahkamah Persekutuan sebelum itu menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila membatalkan sabitan Mahkamah Tinggi, dengan mendapati keputusan hakim bicara adalah berasaskan keterangan dan selaras dengan undang-undang.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Nordin Hassan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa Isa menerima suapan sebagai balasan membantu kelulusan pembelian hotel berkenaan, dan anggapan statutori di bawah undang-undang antirasuah tidak berjaya dipatahkan.
Hakim turut menyifatkan rasuah sebagai satu perbuatan keji yang boleh memusnahkan negara, sambil menegaskan bahawa hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi adalah wajar, seimbang dan berfungsi sebagai pencegah.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Mahkamah turut merujuk bahawa pada 14 Disember 2018, Isa yang kini berusia 76 tahun, telah didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah jenayah dan sembilan pertuduhan menerima suapan melibatkan lebih RM3 juta berkaitan kelulusannya terhadap cadangan pembelian sebuah hotel di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015, dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Pada 6 Mac 2024, Mahkamah Rayuan telah membebaskan dan melepaskan Isa daripada semua pertuduhan selepas membenarkan rayuannya.
-BTSMedia.my



