ARTIS jalanan dari Lithuania, Ernest Zacharevic, yang terkenal dengan mural “Kids on Bicycle” di George Town, Pulau Pinang, telah memfailkan saman terhadap AirAsia Bhd keranamenggunakan karya seninya tanpa kebenaran pada sebuah pesawat syarikat penerbangan tersebut.
Menurut dokumen mahkamah, mural yang terletak di Lebuh Armenian itu merupakan antara tarikan seni jalanan paling dikenali di Pulau Pinang dan sering menjadi lokasi kunjungan pelancong serta penduduk tempatan untuk bergambar.
Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi itu mendakwa AirAsia dan syarikat induknya, Capital A Bhd, telah menghasilkan semula serta memaparkan karya ikonik tersebut pada badan sebuah pesawat tanpa persetujuan artis berkenaan.
Dalam satu pernyataan, plaintif mendakwa tindakan tersebut bukan kejadian terpencil, sebaliknya mencerminkan satu corak penggunaan tanpa kebenaran oleh pihak defendan dan sekutu mereka dalam pelbagai kempen promosi sejak tahun 2016.
Plaintif turut berkata bahawa tuntutan tersebut melibatkan pelanggaran hak cipta dan hak moralnya sebagai artis, dan ia merupakan gangguan tidak sah terhadap aktiviti perdagangannya.
Beliau memohon perintah deklarasi bagi mengiktiraf haknya sebagai pencipta karya, injunksi bagi menghalang penggunaan lanjut tanpa kebenaran, selain penyingkiran dan pemusnahan bahan yang melanggar hak, serta pampasan kewangan yang sewajarnya.
Pada 24 Januari tahun lalu Zacharevic menyatakan kekecewaan mendalam apabila mendapati karyanya digunakan tanpa persetujuan, sambil menegaskan bahawa kejadian itu bukan kali pertama AirAsia didakwa berbuat demikian.
Beliau mendakwa mural basikalnya telah muncul dalam pelbagai bahan promosi termasuk kempen e-mel, iklan dalam talian, majalah dalam penerbangan dan bahan bercetak lain sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Artis itu turut berkata bahawa tanpa mengira jenis perniagaan, sama ada penerbangan, penghantaran atau hospitaliti, karyanya sering digunakan tanpa keizinan, dan beliau merasakan tanggungjawab untuk mempertahankan bukan sahaja hak dirinya, tetapi juga hak semua pengkarya seni dengan menuntut kebertanggungjawaban.
-BTSMedia.my



