KEDUTAAN Malaysia di Tokyo menasihatkan pelancong dari Malaysia supaya meningkatkan kewaspadaan ketika melakukan perjalanan ke kawasan yang berada di bawah amaran dan nasihat cuaca susulan ribut salji, salji tebal serta pembentukan ais.
Menurut kenyataan kedutaan yang dimuat naik di Facebook pada hari Jumaat (6 Februari), kawasan terjejas merangkumi Hokkaido, Tohoku, Kanto, Koshin, Tokai, Hokuriku, Kinki, Chugoku kecuali Yamaguchi, Shikoku, Kyushu utara termasuk Yamaguchi, Kyushu selatan serta Amami.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa para pelancong perlu berhati-hati ketika berada atau bergerak di kawasan yang terlibat.
Kedutaan memaklumkan bahawa sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 pada waktu pejabat atau +81-80-4322-3366, selain menghubungi melalui e-mel di consular@tyo@kln.gov.my atau mwtokyo@kln.gov.my, menurut Bernama.
Dalam perkembangan berkaitan, Jepun dilaporkan mengalami taburan salji luar biasa yang melitupi kawasan utara negara itu, dengan pihak berkuasa memaklumkan sekurang-kurangnya 30 kematian direkodkan setakat ini akibat kejadian berkaitan salji.
-BTSMedia.my



