PULAU Langkawi mencatatkan 38 hari berturut-turut tanpa hujan sejak 31 Disember lalu, sekali gus menjadikannya kawasan yang mengalami tempoh kering paling panjang di negara ini setakat tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, memaklumkan bahawa keadaan tersebut selari dengan corak cuaca lazim di negeri-negeri utara Semenanjung pada penghujung Monsun Timur Laut.
Beliau berkata berdasarkan rekod pemerhatian MetMalaysia, tempoh tanpa hujan paling lama pernah direkodkan ialah selama 77 hari di negeri-negeri utara antara tahun 1979 hingga 1980, dan sekali lagi antara 2004 hingga 2005. Menurutnya, setakat tahun ini, tempoh terpanjang tanpa hujan yang direkodkan ialah 38 hari sejak 31 Disember 2025 dan ia berlaku di Langkawi.
Hisham turut memaklumkan bahawa jumlah hujan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka berkurangan bermula esok, dengan tiada hujan diramalkan di negeri-negeri utara dalam tempoh tersebut. Beliau menjelaskan bahawa cuaca panas lazimnya berlaku antara bulan Februari hingga Jun setiap tahun, khususnya di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Walaupun tempoh tanpa hujan di Langkawi berlarutan, beliau berkata tiada titik panas direkodkan setakat ini berdasarkan pemantauan Pusat Meteorologi Khusus Asean. Keadaan cuaca kering itu dijangka berterusan sehingga berakhirnya Monsun Timur Laut pada pertengahan atau penghujung bulan Mac.
Orang ramai khususnya penduduk dan pengusaha pelancongan di Langkawi dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap cuaca panas berpanjangan, memastikan bekalan air mencukupi serta mengelakkan pembakaran terbuka.
MetMalaysia mentakrifkan gelombang haba sebagai keadaan apabila suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut. Buat masa ini, empat daerah di Kedah iaitu Baling, Kulim, Kuala Muda dan Bandar Baharu dikategorikan di bawah Tahap 1 (Berjaga-jaga) selepas merekodkan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
-BTSMedia.my



