BTS Media

Had sejuta jemaah bawah 65 tahun untuk musim haji tahun ini

GAMBAR ATAS: Jemaah melakukan tawaf pada musim haji 2021/ Foto: Wikimedia Commons/Prof. Mortel

 

Oleh Zainal AS Rashid

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU) mengumumkan bahawa jumlah jemaah yang dibenarkan untuk musim haji tahun ini (1443Hijrah) dihadkan kepada hanya sejuta jemaah tempatan dan antarabangsa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu (9 April), kementerian itu berkata jumlah jemaah haji antarabangsa bagi tahun ini akan mengikut kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara, dengan mengambil kira pematuhan semua kriteria penjagaan kesihatan.

MoHU turut mengumumkan bahawa musim haji tahun ini terbuka kepada jemaah di bawah umur 65 tahun yang telah menerima vaksin utama Covid-19 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Jemaah negara asing dikehendaki mengemukakan keputusan ujian PCR negatif Covid-19 72 jam sebelum berlepas.

MoHU juga mengingatkan keperluan jemaah haji supaya mematuhi semua peraturan kesihatan semasa menunaikan ibadah haji.

Tahun lalu, Arab Saudi hanya membenarkan 60,000 jemaah haji domestik, termasuk warganegara dan warga asing yang berada di negara itu, untuk menunaikan haji.

-BTS Media

Leave a Comment