BTS Media

Saudia sedia penerbangan sewa haji kepada jemaah haji Malaysia untuk tiga tahun

GAMBAR ATAS: Pesawat Saudia B787-9 Riik@mctr, CC BY-SA 2.0  via Wikimedia Commons

 

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

KUALA LUMPUR: Saudia Airlines, syarikat penerbangan nasional Arab Saudi, telah menandatangani penerimaan tawaran bagi menyediakan penerbangan sewa haji kepada jemaah haji Malaysia untuk tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Saudia Airlines Kapten Ibrahim Koshy berkata syarikat penerbangan itu akan menerbangkan sehingga 50 peratus jemaah haji Malaysia secara berperingkat.

Perkhidmatan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang (KLIA) terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah,” kata Ibrahim.

Saudia Airlines menyasar pasaran sebesar yang mungkin bagi jemaah haji, memilih pasaran permintaan perjalanan yang tinggi, mendapatkan kontrak, dan berhubung dengan organisasi rasmi serta entiti berkenaan melalui penganjuran perjalanan haji dan umrah untuk rakyat mereka.

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Saudia Kapten Ibrahim Koshy dan Pengarah Eksekutif TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. – Foto TH

Bagi perkhidmatan berkenaan syarikat tersebut juga akan menggunakan pesawat Boeing B787-9 yang luas dengan 298 tempat duduk bagi keselesaan penumpang.

Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata TH, sebagai badan induk tunggal Malaysia, diamanahkan untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan menyeluruh demi keselesaan dan kebajikan jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata tawaran kepada Saudia Airlines daripada 2022 hingga 2024 akan mengukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.

“Pengaturan penerbangan sewa haji ini adalah usaha berterusan TH untuk memastikan pengangkutan udara disediakan untuk membawa jemaah Malaysia ke Tanah Suci sebagai persediaan sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah asing menunaikan haji tahun ini,” tambahnya.

-BTS Media

Leave a Comment