GAMBAR: Bernama.
Oleh Yusoff A. Shariff
MEMANDANGKAN musim kemarau menghampiri paras kritikal, penduduk Kedah diberi amaran supaya menjimatkan air dan mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata walaupun keadaan masih boleh terkawal di tanah besar, perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai Pulau Langkawi, lapor The Star.
“Semua okey buat masa ini di tanah besar, tetapi tidak di Langkawi.
“Air masih mencukupi di kedua-dua empangan untuk menampung pengguna di tanah besar.
“Di Langkawi, keadaan kritikal kerana tiada hujan. Di beberapa tempat di pulau itu, tidak ada air sama sekali.
“Kebimbangan kami adalah di Empangan Bukit Malut di Langkawi, di mana paras air 67m menghampiri paras kritikal 60m.
“Masalah ditambah lagi dengan kebocoran paip air dasar laut yang membekalkan air dari tanah besar melalui Perlis.
“Kerja pembaikan sedang berjalan tetapi ia tidak dapat dilakukan setiap hari kerana keadaan air pasang surut,” katanya.
Mohamad Yusoff berkata terdapat 91 buah lori untuk membekalkan air ke kawasan terjejas sepanjang hari, terutamanya ke penempatan tinggi di hujung saluran paip.
“Fokus utama kami adalah di kawasan yang mengalami gangguan bekalan air kritikal, iaitu kawasan tiada air langsung semasa musim kemarau ini.
“Sekiranya perlu, kami akan menambah bilangan lori, terutamanya menjelang musim perayaan nanti,” katanya.
Mohamad Yusoff turut melahirkan kebimbangan terhadap kekerapan pembakaran terbuka, khususnya di tanah besar yang boleh mengakibatkan kebakaran.
“Orang ramai harus sedar bahawa pembakaran terbuka boleh merebak dalam keadaan panas ini.
“Tahun ini sahaja, terdapat 1,138 kes pembakaran terbuka.
“Orang ramai perlu sedar bahawa ini ialah satu kesalahan dan mereka boleh didenda,” katanya.
-BTS Media