BANTUAN Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 yang bermula esok dikatakan akan berjalan lebih lancar susulan penambahbaikan pada sistem MyKasih, termasuk peningkatan kapasiti jalur lebar bagi mengelakkan gangguan seperti yang berlaku sebelum ini.
Menurut laporan, penambahbaikan itu dibuat selepas pihak berkaitan meneliti kelemahan yang berlaku pada hari pertama pelaksanaan Sara tahun lalu, apabila sistem mengalami kesesakan akibat jumlah transaksi yang terlalu tinggi. Pihak yang menguruskan pangkalan data MyKasih dimaklumkan telah meningkatkan kapasiti teknikal bagi memastikan bantuan dapat diakses tanpa masalah oleh semua penerima bermula esok.
Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika musim penyaluran bantuan dan menjelang musim perayaan, yang sering dianggap sebagai tempoh aktif oleh sindiket penipuan. Keadaan ini memerlukan orang ramai lebih berjaga-jaga apabila bantuan Sara, Ramadan, sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri jatuh dalam tempoh yang tidak jauh jaraknya tahun ini.
Orang ramai, khususnya ibu bapa, dijangka meningkatkan perbelanjaan untuk keperluan harian, persiapan perayaan dan pemberian wang kepada keluarga, sekali gus membuka ruang kepada aktiviti penipuan. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengklik sebarang pautan yang diterima melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mesej mencurigakan.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan Sara RM100 secara “one-off” di bawah sistem MyKasih kepada semua rakyat Malaysia dewasa bermula bulan Februari tahun 2026. Pelaksanaan pusingan pertama pada 31 Ogos lalu bagaimanapun menyaksikan sistem belakang tabir mengalami kesesakan serius dan gangguan teknikal berikutan jumlah transaksi yang terlalu tinggi.
Bantuan Sara fasa pertama sah digunakan dari 31 Ogos hingga 31 Disember. Walaupun sistem telah kembali stabil, pelaksanaan pusingan kedua tetap menimbulkan kebimbangan sama ada sistem berkenaan mampu menampung lonjakan penggunaan sekali lagi.
-BTSMedia.my



