BTS Media

Kenaikan kos sara hidup: Beri pelepasan cukai, bantuan tunai kepada M40

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

GOLONGAN berpendapatan sederhana (M40) tidak terkecuali daripada kesan kenaikan kos sara hidup, justeru juga memerlukan bantuan kerajaan.

Pakar ekonomi Nungsari Ahmad Radhi mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan lebih banyak pelepasan cukai untuk 40 peratus daripada golongan tersebut, lapor Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut beliau, sebagai kumpulan utama pembayar cukai mereka juga terkesan dengan kenaikan harga barang walaupun tidak begitu teruk sehingga tidak mampu membeli makanan.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan memberikan mereka potongan dan lebih banyak pengecualian cukai pendapatan.

Nungsari juga mencadangkan kerajaan mengenakan cukai lebih tinggi ke atas kumpulan pendapatan peringkat teratas negara bagi mengimbangi kehilangan hasil daripada penurunan cukai ke atas kumpulan M40.

Beliau berkata kerajaan amat menyedari kekangan fiskal yang serius sekarang, dan harus melihat kepada hasil dan perbelanjaan dalam menentukan keutamaan ketika rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Penganalisis ekonomi Mohd Yusof Saari pula mencadangkan beberapa cara kerajaan boleh meringankan beban kewangan kumpulan M40. Antaranya mewujudkan semula kedai bajet dan bantuan tunai sebagai bantuan sementara.

Kenaikan harga barangan memberi tekanan ketara kepada mereka

Ini adalah masa kritikal bagi kumpulan berpendapatan rendah, terutama B40 dan sebahagian besar kumpulan M40. Kenaikan harga barangan memberi tekanan ketara kepada mereka,” kata Mohd Yusof kepada Sinar Harian.

Mengambil kira kesan kos sara hidup yang lebih tinggi ke atas golongan berpendapatan sederhana, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) N Marimuthu juga menggesa kerajaan memberikan bantuan tunai sehingga keadaan ekonomi negara pulih.

Kerajaan perlu menggunakan dana sedia ada untuk membantu golongan M40 bagi mengurangkan kos sara hidup mereka.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan beberapa bentuk bantuan pendidikan dan kesihatan kepada golongan berpendapatan sederhana itu.

Marimuthu berkata sekarang pasaran berdepan dengan kekurangan banyak jenis ubat, dan keadaan ini berbahaya bagi golongan B40 dan juga M40.

Beliau juga berpendapat kerajaan tidak harus terlalu tergesa-gesa untuk memansuhkan subsidi ketika berlaku kegawatan ekonomi, tetapi meneruskannya sehingga harga barangan kembali stabil.

Sejak kebelakangan ini semakin ramai rakyat Malaysia mengadu di media sosial setelah terkesan oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Pada Khamis lepas, kerajaan mengumumkan tambahan bantuan tunai RM100 untuk isi rumah dan RM50 untuk bujang di bawah program Bantuan Keluarga Malaysia.

-BTS Media

Leave a Comment