BTS Media

Tak pernah beri kebenaran kepada Air Asia guna karya mural – Zacharevic

GAMBAR: Wikimedia Commons/ Art Porters

GEORGE TOWN: Pelukis mural jalanan warga Lithuania, Ernest Zacharevic, yang terkenal dengan lukisan jalanan di George Town, Pulau Pinang, melahirkan rasa terkejut apabila mendapati karya seninya di Armenian Street digunakan pada badan pesawat AirAsia.

Menurut Malay Mail Online, Zacharevic berkongsi gambar pesawat AirAsia yang dihiasi muralnya, diambil di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 Nov, dalam Instagram semalam.

Dalam kapsyen post itu, Zacharevic menurunkan mesej: “Saya rasa kita perlu berbincang…”

Dia turut tag syarikat penerbangan itu dan pengasasnya, Tan Sri Tony Fernandes.

Bahagian depan pesawat tersebut jelas mempamerkan mural terkenalnya, ‘Children On Bicycle.’

Menurut akhbar Straits Times Singapura, Zacharevic berkata syarikat penerbangan itu tidak mendapatkan persetujuan untuk menggunakan karya tersebut dan ini bukan kali pertama.

“Saya mula-mula perasan perkara ini di Instagram rakan saya dan kemudian saya melihat sendiri pesawat berkenaan di lapangan terbang pada hari Jumaat,” katanya.

Zacharevic berkata dia akan tidak akan mengambil tindakan undang-undang, tetapi akan cuba menyelesaikannya dengan AirAsia terlebih dahulu.

-BTS Media

Leave a Comment