GAMBAR ATAS: George Town Heritage Action
Oleh Yusoff A. Shariff
STATUS Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town, Pulau Pinang perlu dikaji semula.
Semua pihak berkepentingan perlu “dididik semula” tentang maksud pemuliharaan di kawasan tersebut, kata pengarah urusan Think City Sdn Bhd Hamdan Abdul Majeed.
Selepas 15 tahun menyandang status UNESCO, orang ramai kini perlu menilai semula manfaat yang diperoleh jika tapak warisan di kawasan itu dipelihara dan menjalani pemuliharaan.
Beliau yang merupakan pakar dalam dasar perancangan bandar memberitahu portal The Vibes bahawa pihak pemaju harus berusaha untuk bekerjasama dengan masyarakat sivil dan bukannya berbalah antara satu sama lain.
Kini, episod terbaharu membabitkan bangunan zaman kolonial Keretapi Tanah Melayu di China Street Ghaut, di mana jubin Minton yang digunakan pada awal abad ke-19 dirosakkan oleh kontraktor.
Seorang lagi pakar konservasi, yang tidak mahu namanya didedahkan berkata pihak berkepentingan perlu bersama-sama mencari jalan terbaik untuk memenuhi syarat-syarat status George Town sebagai tapak warisan dunia dan bukannya tuduh menuduh antara satu sama lain.
Beliau melahirkan kebimbangan apabila melihat selepas 15 tahun, aktivis warisan, pihak pemelihara, dan sektor swasta di kawasan itu masih tidak sehaluan.
Hamdan menyuarakan seruan ahli pemuliharaan tempatan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja mesti memelihara harta warisan di zon teras dan penampan tapak UNESCO, tetapi juga menjaga khazanah warisan “tidak ketara” lain seperti makanan, seni, budaya, dan kraf.
Sejak sekian lama, pakar pemuliharaan telah meminta pengiktirafan diberikan juga kepada “zon tertier”, supaya bangunan warisan di luar zon teras dan penampan turut dipelihara.
Bangunan Keretapi Tanah Melayu di China Street Ghaut berada dalam zon warisan, dan juga merupakan bangunan Kategori Satu, yang bermaksud bahawa hanya tahap pengubahsuaian minimum dibenarkan.
Pesuruhjaya Warisan Pulau Pinang Rosli Nor berkata beliau telah disalah maklumkan mengenai kerja yang dilakukan di tapak itu, dan maklumat seterusnya mendapati bahawa berlaku kerosakan lebih teruk daripada yang disangka pada awalnya.
Pemilik bangunan itu, Railway Assets Corp, telah dipanggil oleh pihak penjaga status warisan George Town, George Town World Heritage Incorporated, serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menjelaskan kerosakan berkenaan.
Sejak tahun lepas, lebih banyak tapak warisan telah melaporkan kerosakan akibat pembangunan di Pulau Pinang yang berdepan dengan kekurangan kawasan tanah.
Menurut Rosli, yang merupakan konservator persekutuan, kejadian sedemikian menunjukkan bahawa pihak berkepentingan tidak sehaluan hingga mengakibatkan usaha terputus-putus untuk melindungi status warisan George Town.
Makam Foo Teng Nyong yang berusia 138 tahun, isteri ketiga Kapitan Chung Keng Quee, terletak di luar Taman Fettes, juga telah dirobohkan secara haram oleh pemaju pada tahun lalu.
Chung dikatakan antara pengasas bandar Taiping dan merupakan tokoh penting dalam sejarah kolonial Pulau Pinang.
Sebuah banglo di Jalan Clove Hall turut dirobohkan selepas pemiliknya mendapat kelulusan MBPP.
Tindakan merobohkan itu dikatakan perlu berikutan rasuk kayu yang reput pada struktur rosak.
Tetapi, pengasas bersama George Town Heritage Action Mark Lay berkata makam dan banglo itu sepatutnya dilindungi walaupun berada di luar zon warisan, kerana ia masih “cebisan berharga dalam sejarah Pulau Pinang”.
Sementara itu, Naib Presiden Amanah Warisan Pulau Pinang Khoo Salma Nasution berkata bangunan pencakar langit dan bangunan baharu di luar zon warisan teras telah merosakkan nilai panoramik hartanah dalam zon tersebut.
Awal tahun ini, dilaporkan bangunan Pawagam Rex yang berkonsepkan seni bina Art Deco di Kinta Lane akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada sebuah kondominium 27 tingkat.
-BTS Media/Sumber: The Vibes