BTS Media

Jangan hanya pelihara bangunan dalam tapak UNESCO – Persatuan Warisan Pulau Pinang

GAMBAR ATAS: The Star.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

PIHAK berkuasa Pulau Pinang perlu memberi pertimbangan kepada zon perlindungan struktur yang terletak di luar teras Tapak Warisan Dunia UNESCO dan zon penampannya di George Town, kata pakar pemuliharaan.

Walaupun bukan sebahagian daripada zon warisan teras atau kawasan penampannya, tindakan merobohkan lebih banyak bangunan bersejarah di kawasan berkenaan merosakkan  pemandangan bandar dan karakternya, kata naib presiden Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT) Khoo Salma Nasution.

Paling ketara baru-baru ini, ialah tindakan merobohkan banglo bersejarah sebelum perang di Jalan Clove Hall, yang dilapor dijalankan atas faktor keselamatan kerana semakin reput dibaham oleh anai-anai.

Khoo berkata zon perlindungan ‘tertiary’ diperlukan untuk melindungi hartanah di kawasan pinggir bandar George Town.

Antara contoh bangunan bersejarah dan artifak budaya di kawasan tersebut yang telah dimusnahkan, termasuk kubur Foo Teng Nyong (isteri taikun Chung Keng Kwee) di Mount Erskine, pengezonan semula kuarters kerajaan di Jalan Chow Thye dan perobohan struktur warisan di Peel Avenue, lapor The Vibes.

“Semua ini boleh dielakkan,” katanya semasa pratonton rancangan tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang semalam.

“Ini bermakna harta warisan negeri sendiri berisiko.”

Tiga pertubuhan bukan kerajaan menggesa pembayar cukai taksiran menolak format semasa rancangan tempatan (local plan) atas alasan perancangan warisan yang lemah, rumah mampu milik, pengangkutan awam dan kebimbangan berhubung alam sekitar.

Rancangan tempatan yang dicadangkan juga menunjukkan kurangnya kesedaran dan nilai untuk menyelaraskan kawasan sekitar dengan kawasan pemuliharaan dalam zon warisan.

Ketika Pulau Pinang dan Melaka menyambut ulang tahun ke-15 status bersama Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO tahun ini, Khoo berkata usaha memelihara dan pemuliharaan telah terjejas oleh pemindahan sistematik bangunan lama di luar zon warisan.

Menurut laporan, zon teras itu mempunyai keluasan 109.38 hektar dengan penampan seluas 150.04 hektar mengelilingi kawasan utama.

Pulau Pinang juga mempunyai koleksi terbesar rumah kedai bersejarah sebelum perang dan hartanah era kolonial di rantau ini, dengan kira-kira 3,900 unit disenaraikan.

Walaupun negeri itu berbangga dengan langkah-langkah untuk mengawal pembangunan, namun perobohan dan rancangan yang berlaku baru-baru ini di luar warisan teras dan zon penampan telah menimbulkan kebimbangan PHT, yang merupakan badan pejuang utama pemuliharaan warisan di Pulau Pinang.

“Ia merosakkan pemandangan kawasan bandar. Bayangkan dahulu, terdapat pemandangan pinggir laut dari tapak tersebut. Sekarang sudah ada bangunan pencakar langit dan yang paling teruk, kebanyakannya tidak berpenghuni. Apakah nilai yang dibawa?” tanya Khoo.

Sejak tiga hari lalu, aktivis warisan telah mengetengahkan pemusnahan secara beransur-ansur sebuah banglo dua tingkat di Jalan Clove Hall.

Walaupun pemilik dan pemaju telah mendapat kelulusan majlis bandar raya, mereka berkata perobohan itu bercanggah dengan pemuliharaan dan pemeliharaan penyenaraian UNESCO George Town.

Pesuruhjaya Warisan Pulau Pinang Rosli Nor berkata perobohan itu adalah mengikut kelulusan majlis bandaraya.

Sementara itu, FMT pula memetik seorang penduduk Jalan Clove Hall mendakwa berdasarkan khabar angin, bahawa tindakan meroboh banglo adalah untuk memberi laluan kepada projek kondominium.

-BTS Media

Leave a Comment