BTS Media

Masih ingat kedai ‘jeans’ ikonik George Town ini?

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

ZAMAN dahulu, pada awal 70an bagi anak muda di utara semenanjung, nama M.A Pitchay Gunny sinonim dengan seluar jeans  jenama Levis, Lee dan yang sewaktu dengannya.

Masuk ke kedai terletak di Penang Road, George Town ini kita akan dihadapkan dengan longgokkan seluar jeans import daripada kain denim biru, corduroy dan lain-lain yang dikira paling trendy pada masa itu.

Sebenarnya, M.A. Pitchay Gunny telah lama bertapak di lokasi itu – sejak 1900 lagi.

Ia boleh dikira sezaman dengan Swettenham Pier (1904), Restoran Hameediyah 1907, kemunculan kereta Ford Model T pada 1908 dan presint tepi laut Gurney Drive yang dahulu dipanggil Padang Kota Baru (1936).

Legasi M.A. Pitchay Gunny masih bertahan, dan sekarang diuruskan oleh cicit pengasasnya, Syed Ahamed Mohamed Ghani, 60.

Datuk moyang beliau menamakan kedai tersebut sempena namanya apabila mendaftarkan perniagaan itu pada penghujung abad ke-19.

Menurut Syed Ahamed , pada zaman awal M. A. Pichay Gunny hanya menjual barangan buatan British.

Bagi sebahagian besar orang lama “Tanjong” (George Town) kedai tersebut adalah satu-satunya tempat untuk membeli barangan “Made-in-England” yang tulen.

Yang dijual, termasuk payung British, sikat, gunting, paip, dan banyak lagi barangan kegunaan peribadi berkualiti buatan British yang sering dikaitkan dengan simbol status.

Semasa Perang Dunia Pertama dari 1914 hingga 1918, kedai tersebut ditutup sementara menantikan semuanya berakhir dan barangan British lebih mudah diimport.

FOTO: BTS Media.

Tumpuan penjualan berubah semasa perang Dunia Kedua (1939-1945), dan M.A. Pichay Gunny mula menjual barangan buatan tempatan, justeru menamatkan zaman perniagaan produk “Made-in-England”.

Pihak pentadbiran tentera Jepun membenarkan perniagaan diteruskan, tetapi menghentikan import barangan.

Mengimbau apa yang diceritakan oleh datuknya, Syed Ahamed berkata banyak cabaran perlu dihadapi semasa penjajahan tentera Jepun kerana dari semasa ke semasa kedai terpaksa ditutup apabila siren berbunyi menandakan serangan udara tentera bersekutu.

Pada awal tahun 50an, Bapa Syed Ahamed menyertai perniagaan, justeru membawa perkembangan baharu kepada M.A. Pichay Gunny.

Peluang daripada populariti global kain denim ketika itu dengan pantas direbut untuk memenuhi permintaan pelanggan. Menjelang tahun 70an, Pitchay Gunny dilihat sebagai kedai ikonik menjual pelbagai jenama seluar jeans berkualiti dan pakaian lelaki.

Syed Ahamed, yang mempunyai latar belakang akademik kejuruteraan sivil menyertai perniagaan pada tahun 80an.

Selepas ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan semasa bercuti di India pada 1991, pengurusan kedai diambil alih oleh Syed Ahamed.

Bagaimanapun, pada waktu itu trend komersial di Pulau Pinang telah bertukar dengan kemunculan beberapa kompleks membeli-belah moden.

Untuk tidak ketinggalan, Syed Ahamed telah membuka lebih banyak cawangan di sepanjang Penang Road.

Zaman telah banyak berubah kini, namun beberapa generasi pelanggan M.A Pitchay Gunny tetap setia berkunjung ke kedai asal di Penang Road.

-BTS Media

Leave a Comment