BTS Media

Pawagam Rex George Town ‘permata seni bina yang jarang ada

GAMBAR ATAS: FMT.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

BANGUNAN bekas Pawagam Rex di George Town, Pulau Pinang  yang bakal dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembinaan kondominium 27 tingkat, adalah permata seni bina yang jarang diterdapat dari era 1930-an.

Menurut arkitek dan pakar hartanah, Alex Koenig, yang membuat kajian tentang bangunan lama di Pulau Pinang, bangunan itu harus  dipelihara untuk mengekalkan warisan gaya art deco tropika 1930-an, serta ciri-ciri seni bina Malaya yang unik, lapor FMT.

Menara hadapan bangunan dengan dua bahagian konkrit di tengah adalah seni bina klasik, katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan kawasan warisan terbesar bagi contoh art deco tropika yang masih ada.

Pawagam Rex adalah salah satu daripada peninggalan zaman lampau, yang kini terdapat tanda-tanda kepupusannya” kata Koenig kepada FMT.

Koenig menyifatkan bangunan itu sebagai contoh “reka bentuk bangunan demokratik”.

Beliau berkata, arkitek, Charles Boutcher, yang mengilhamkan reka bentuk tersebut sedar bahawa seni bina yang digunakan mampu menarik ramai pengunjung, sementara bahagian menaranya pula adalah simbol demokrasi dan kemegahan layar perak menarik.

Koenig berkata art deco tropika adalah pengilhaman Malaysia dengan ciri unik seperti bolong atas untuk menyejukkan bahagian dalam melalui pengudaraan silang.

Beliau berkata, ciri ini mendahului masanya, dan boleh digunakan hari ini untuk menjadi lebih ‘mesra alam sekitar’

Aspek lain termasuk ciri-ciri seperti penggunaan tingkap ‘porthole’, penggunaan plaster Shanghai pada bahagian luar, tiang bendera, dan penyelarasan aerodinamik, katanya.

Koenig berkata, sayang jika seni bina seperti ini dimusnahkan, dan setidak-tidaknya pemaju  mengekalkan bahagian fasad dan ciri uniknya untuk ditatap generasi kemudian hari.

Beliau berkata, Rex dibina sebagai bangunan pawagam yang berdiri terasing, semasa pawagam-pawagam lain beroperasi bersama bangunan rumah kedai, justeru menjadikannya lebih menarik.

Bangunan Rex adalah salah satu contoh terbaik kerja Boutcher, katanya.

Idea Boutcher turut terdapat pada reka bentuk Rumah Kedah, OCBC Bank, Sentosa Mansion, Cenotaph di George Town, dan Masjid Zahir di Alor Setar.

Bangunan Rex dibina pada tahun 1938, dan tidak lagi digunakan sebagai pawagam pada awal tahun 2000, apabila sebuah kedai perabot mengambil alih bangunan itu.

Tahun lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang memberi kebenaran untuk bangunan itu dirobohkan bagi membangunkan projek kondominium 27 tingkat.

-BTS Media

Leave a Comment